Sabtu, 12 March 2022 | 7:19pm
Aksi Izam pada sesi kelayakan CP150 Kejuaraan Cub Prix di Litar Sepang hari ini.
Aksi Izam pada sesi kelayakan CP150 Kejuaraan Cub Prix di Litar Sepang hari ini.

Izam lakar kejutan

KUALA LUMPUR: Mohd Izam Ikmal Izamli yang baru menyertai pasukan ONEXOX Racing Team membuat kejutan apabila muncul sebagai pelumba terpantas sesi kelayakan CP150 dalam pusingan pembuka tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Sepang, hari ini.

Izam, yang beraksi dengan jentera Honda selama ini, langsung tidak menghadapi sebarang masalah menyesuaikan rentak tunggangannya bersama jentera Yamaha yang disediakan oleh pasukan ONEXOX Racing Team.

Izam mencatatkan masa terpantas 1 minit 17.025 saat (s) selepas mempamerkan strategi yang hebat mengatasi pelumba lain di saat-saat terakhir saingan.

"Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada team saya, ONEXOX Racing Team untuk pencapaian di luar jangkaan ini," kata Izam.

"Namun, strategi yang dibincangkan oleh pasukan sangat berjaya. Seperti yang diketahui, kategori CP150 memang sukar dengan cabaran untuk berada di hadapan.

"Cuaca hari ini sememangnya tidak menentu. Namun begitu, saya akan lebih bersedia untuk perlumbaan esok."

Juara bertahan CP150 Azroy Hakeem Anuar memulakan kempen musim 2022 dengan mencatat masa kedua terpantas sesi kelayakan dengan 1:17.068s.

Catatan masa ketiga terpantas dirakam oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing dengan 1:17.207s.

Dalam kategori CP125 pula, pelumba pasukan ONEXOX Racing Team dan ONEXOX TKKR Racing Team melaung amaran awal apabila berjaya mendominasi sesi kelayakan.

Mohd Syafiq Rasol mendahului dengan catatan masa 1:21.948s, disusuli oleh Md Hafiza Rofa dengan catatan masa 1:22.190, serta Abdullah Qayyum Abd Razak dengan masa 1:22.519.

Bagi kategori Wira KBS, Md Syamil Amysar M Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing melakar masa terpantas dalam sesi kelayakan dengan catatan masa 1:24.437s.

Catatan masa kedua terpantas dirakamkan Amirun Haziq Johan yang berlumba secara persendirian tanpa pasukan dengan catatan masa 1:24.714s diikuti oleh Md Adam Haikal Jahar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di tempat ketiga dengan catatan masa 1:25.409s.

Berita Harian X