Jumaat, 11 March 2022 | 6:04pm
Hafizh (tengah) ketika menjuarai Supermoto di Tangkak bulan lalu.
Hafizh (tengah) ketika menjuarai Supermoto di Tangkak bulan lalu.

Hafizh sasar 10 terbaik

SEPANG: Penamat dalam kelompok 10 terbaik dalam setiap pusingan perlumbaan dalam kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2022 menjadi sasaran pelumba dua roda sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh yang baharu menimang cahaya mata sulung semalam dalam satu temubual bersama WSBK berkata, dia mahu memberikan saingan kepada pencabarnya dalam kelas WorldSBK.

"Saya masih belum mencuba motosikal tetapi saya percaya dari pertengahan musim lalu, motosikal semakin baik," kata pelumba berusia 27 tahun itu.

"Ia meningkat dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan.

"Saya mahu berada dalam kelompok 10 terbaik dalam setiap perlumbaan dan cuba memberikan tentangan kepada semua pelumba. Saya mengenali beberapa pelumba terutama seperti Locatelli, Alvaro Baustista dan beberapa lagi yang pernah beraksi di MotoGP sebelum ke WorldSBK.

"Ini termasuklah pencabar baharu, sudah pasti saya mempelajari sesuatu dari Toprak, apatah lagi dia seorang yang muda dan sangat pantas serta pelumba legenda di WorldSBK, Jonathan Rea," tambahnya.

Hafizh mengakui ia satu cabaran besar buatnya tetapi berjanji akan cuba berikan yang terbaik dan memanfaatkan pengalamannya di MotoGP.

Bagi musim 2022, Hafizh akan mewakili pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera CBR1000RR-R dan bergandingan bersama pelumba Argentina, Leandro Mercado.

Kalendar WSBK 2022 bakal menyaksikan 12 pusingan berlangsung dengan tirai saingan dijadual bertempat di Litar Aragon, Sepanyol dari 8 hingga 10 April ini.

Berita Harian X