Ahad, 27 Februari 2022 | 6:39pm
Gambar fail - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli.
Gambar fail - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli.

Hakim harap bermula baik saingan ATC 2022

KUALA LUMPUR: Ujian rasmi Asia Talent Cup (ATC) 2022 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar menutup tirainya semalam dengan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengharapkan permulaan kempen lebih baik apabila pusingan pertama bermula di litar sama, minggu depan.

Hakim yang menamatkan musim lalu di tempat kelima berkata ujian rasmi selama dua hari itu berlangsung dengan baik dan ia dilihat sebagai satu pentas untuknya memperbaiki kelemahan yang ada sebelum saingan sebenar.

"Alhamdulillah, ujian berlangsung dengan baik. Saya agak gembira tetapi saya cuba untuk memperbaiki kelemahan. Untuk hari ini, saya dapat membuat catatan sepusingan yang baik dan meningkat berbanding semalam.

"Saya dapat menunjukkan peningkatan, namun ada juga yang saya lakukan kesilapan di mana terlalu awal di selekoh. Apapun, doakan yang terbaik untuk saya nanti," kata pelumba muda berusia 15 tahun itu.

Bagi kempen ATC kali ini, Hakim akan mengetuai cabaran negara bersama tiga lagi pelumba yang dicungkil bakatnya menerusi Siri MiniGP Malaysia 2021 iaitu Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli.

Saingan musim 2022 bermula di Litar Antarabangsa Losail dari 4 hingga 6 Mac ini sebelum beralih ke Litar Mandalika, Indonesia pada 18 hingga 20 Mac. Pusingan 3 dijadual bertempat di Litar Twing Ring Motegi, Jepun dari 23 hingga 25 September.

Litar Antarabangsa Chang, Thailand menjadi lokasi bagi Pusingan 4 dari 30 September hingga 2 Oktober sebelum Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi destinasi seterusnya, 21 hingga 23 Oktober. Pusingan kemuncak musim dijadual berlangsung di Litar Mandalika dari 11 hingga 13 November.

Bagi kempen 2022, Hakim turut dijadual menyertai European Talent Cup (ETC) yang dijadual membuka tirainya di Litar Estoril, Portugal pada 8 Mei ini.

Berita Harian X