Jumaat, 25 Februari 2022 | 7:29pm
Gambar fail - Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.
Gambar fail - Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin.

Persiapan 4 pelumba SIC Racing mantap

KUALA LUMPUR: Persiapan lengkap ke atas empat pelumba muda negara bagi mengharungi kempen Asia Talent Cup (ATC) 2022, meyakinkan pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin untuk melihat anak didiknya melakukan yang terbaik di saingan berkenaan.

"Persiapan kita sangat mantap terhadap empat pelumba ini," kata Zulfahmi terhadap anak didiknya Hakim Danish Ramli, Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli.

Empat pelumba muda diketuai Hakim Danish ini mengharungi ujian rasmi dua hari di Litar Antarabangsa Losail, Qatar yang bermula hari ini sebelum saingan pembuka tirai 2022 berlangsung di litar sama dari 4 hingga 6 Mac.

"Saya yakin kita datang ke Qatar dengan persiapan fizikal, tunggangan dan mentaliti yang baik," kata Zulfahmi yang juga bekas pelumba pernah mewakili negara di Kejuaraan Motosikal Dunia itu.

"Daripada sudut pengalaman, tiga pelumba baharu iaitu Farres, Emil dan Farish, tentunya tidak mempunyai pengalaman sama seperti Hakim tetapi saya yakin mereka akan memberikan saingan hebat bermula daripada ujian rasmi."

Hakim, 14, pernah menggegarkan ATC pada tahun lalu dengan menamatkan saingan musim di tempat kelima keseluruhan manakala Farres, Emil dan Farish diangkat ke saingan berkenaan selepas mengharungi Siri MiniGP Malaysia 2021.

"Tahun ini kita mempunyai empat pelumba. Pelumba senior iaitu Hakim selain Farres, Emil dan Farish. Sasaran untuk ketiga-tiga pelumba baharu ini, adalah berada dalam kelompok 10 terbaik. Kalau tamat di kelompok depan, itu satu bonus.

"Untuk Hakim, kita sasarkan kedudukan lebih tinggi tetapi saya tak boleh menjangkakan kedudukan ke berapa. Tahun lalu dia tamat di tempat kelima, harap tahun ini berada di kedudukan lebih baik," kata Zulfahmi.

Berita Harian X