Khamis, 24 Februari 2022 | 9:20pm
Gambar fail - Pelumba cilik, Hakim Danish Ramli.
Gambar fail - Pelumba cilik, Hakim Danish Ramli.

Hakim Danish tekad rebut kejuaraan ATC 2022

KUALA LUMPUR: Pelumba cilik, Hakim Danish Ramli menyasarkan untuk menjuarai perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022, yang bermula pada bulan depan.

Biarpun menamatkan saingan pertamanya tahun lalu di kedudukan kelima keseluruhan dengan mengumpul 57 mata, Hakim Danish, 14, mengakui masih belum puas dengan keputusan itu dan berikrar memperbaiki pencapaian kempen keduanya dengan bergelar juara musim ini.

"Matlamat saya adalah untuk menjadi juara tetapi sudah tentu saya perlu mengambil langkah demi langkah untuk mencapai impian saya di ATC 2022," katanya dalam satu video dikongsi kepada media hari ini.

Selain tempat kelima keseluruhan, pelumba dari Terengganu itu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sebanyak tiga kali, masing-masing di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada Mac dan April tahun lalu.

Hakim Danish yang akan menjalani sesi ujian rasmi di Qatar pada 25 dan 26 Februari berharap dapat mencatat masa sepusingan terbaik sekali gus membakar semangatnya untuk mengharungi saingan 2022.

Selain Hakim Danish, tiga lagi pelumba Malaysia turut berentap dalam ATC 2022 iaitu Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli.

Sementara itu, Farres berkata beliau memasang impian untuk menamatkan musim 2022 dengan berada dalam kelompok lima pelumba terbaik manakala Farish dan Emil berkongsi misi sama iaitu berada dalam ranking 10 pelumba terbaik secara keseluruhan tahun ini.

Pusingan 1 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Losail dari 4 hingga 6 Mac diikuti Pusingan 2 di Litar Mandalika, Indonesia (18-20 Mac); Litar Twin Ring Motegi, Jepun (23-25 September) dan Litar Antarabangsa Chang, Thailand (30 September- 2 Oktober) bagi Pusingan 4.

Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi tuan rumah Pusingan 5 dari 21-23 Oktober dan Pusingan 6 yang juga perlumbaan terakhir 2022 akan sekali lagi berlangsung di Litar Mandalika dari 11-13 November.

- BERNAMA

Berita Harian X