Rabu, 16 Februari 2022 | 4:22pm
Adam (kiri) bersama Bobie (tengah) dan Azlan.
Adam (kiri) bersama Bobie (tengah) dan Azlan.

Adam berlumba di ARRC

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai hala tuju pelumba dua roda negara, Adam Norrodin terjawab apabila dia dijadual menyertai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi musim 2022.

Bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia dan Kejuaraan Eropah (CEV) itu akan menggalas cabaran pasukan OneXOX BMW TKKR Racing dalam saingan kelas Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) di ARRC.

Dalam kelas berkenaan, Adam akan bergandingan bersama juara bertahan ASB 1000 iaitu Azlan Shah Kamaruzaman dengan menggunakan jentera model baharu 2022, BMW S1000RR.

"Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyertai pasukan OneXOX BMW TKKR ini," kata Adam.

"Saya tahu bahawa mereka mempunyai gabungan yang kuat dan berpasangan pula dengan Azlan.

"Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan keseronokan saya. Saya akan cuba yang terbaik supaya menjadi aset kepada pasukan ini.

"Saya sudah berlatih bersungguh-sungguh dan berharap segala usaha akan menghasilkan keputusan yang baik untuk pasukan."

Sementara itu, prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsuddin berkata, pengalaman dimiliki Adam membuatkan pasukan tertarik untuk mengambil pelumba berusia 23 tahun itu.

"Adam yang berpengalaman di saingan Kejuaraan Dunia Moto2 dan Moto3 serta CEV menarik minat kami untuk membawa cabaran yang cukup besar bagi tahun ini, selepas dua tahun perlumbaan ARRC tidak dapat diteruskan akibat pandemik COVID-19.

"Kami sudah membuat persiapan rapi serta penilaian yang teliti bagi mempertahankan kejuaraan keseluruhan untuk tahun ini. Dengan kemasukan Adam, ia akan menguatkan lagi pasukan kami dalam saingan yang sudah semestinya sengit dan seterusnya mengibarkan bendera Malaysia di pentas podium antarabangsa," kata Bobie.

Berita Harian X