Isnin, 14 Februari 2022 | 3:31pm
Hafizh (nombor 55) dan Azlan (25) berentap di Pusingan 3 MSF SuperMoto di Litar Tangkak, semalam.
Hafizh (nombor 55) dan Azlan (25) berentap di Pusingan 3 MSF SuperMoto di Litar Tangkak, semalam.

Hafizh juarai Pusingan 3 MSF SuperMoto

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah menikmati aksi Pusingan 3 MSF SuperMoto yang berlangsung di Litar Tangkak, Johor dengan mendominasi kedua-dua perlumbaan, semalam.

Pelumba yang menyertai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) buat kali pertama musim ini meraih pengalaman berharga dalam kedua-dua perlumbaan dalam kelas All Stars yang turut disertai nama besar yang pernah beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia seperti Azlan Shah Kamaruzaman.

Hafizh yang menggunakan jentera TM SMX 450 melengkapkan Perlumbaan 1 dengan catatan masa keseluruhan terpantas 10 minit 30.702 saat (s), mengatasi Azlan 10.045s.

Perlumbaan 2 turut menyaksikan pelumba berusia 27 tahun itu berjaya mengatasi Azlan dengan menemui garisan penamat terawal 10:28.793s manakala Azlan ketinggalan 5.227s.

Keputusan itu jelas memberi gambaran Hafizh kini berada di landasan tepat menjelang aksi pertamanya di WSBK yang dijadual membuka tirai musim 2022 di Litar Aragon, Sepanyol dari 8 hingga 10 April ini.

Semalam, BH Sukan melaporkan Hafizh yang mewakili pasukan MIE Racing Honda Team dalam kelas WorldSBK itu menggunakan tempoh waktu rehatnya dengan menyertai latihan dan perlumbaan tempatan sebagai persediaan ke WSBK.

Hafizh berkata, dia akan menguji jentera rasmi Honda CBR1000RR-R bersama pasukan bulan depan selepas menyambut kelahiran anak sulungnya.

"Dengan menyertai MSF ini, sedikit sebanyak ia membantu untuk saya berlatih. Ada yang boleh saya ambil (pengalaman daripada MSF Supermoto) dan campurkan (corak tunggangan) apabila berlatih dan berlumba (menggunakan jentera berbeza).

"Ini boleh membantu saya apabila berada dalam perlumbaan nanti, selain membantu saya untuk menjadi lebih baik dan terus meningkat," kata Hafizh.

Berita Harian X