Isnin, 14 Februari 2022 | 1:44pm
Aksi Dovizioso (jentera nombor 4) dan Binder (40) dalam ujian rasmi MotoGP di Litar Mandalika, semalam.
Aksi Dovizioso (jentera nombor 4) dan Binder (40) dalam ujian rasmi MotoGP di Litar Mandalika, semalam.

Razlan puas hati prestasi ujian pramusim

KUALA LUMPUR: Pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Team sudah bersedia mengharungi kempen Kejuaraan Motosikal Dunia selepas mengharungi dua ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Litar Mandalika, Indonesia.

Malah, pasukan dikemudi Datuk Razlan Razali itu menyatakan keyakinan mampu memberi cabaran kepada pasukan lain apabila bermula kempen di Grand Prix (GP) Qatar dari 4 hingga 6 Mac ini.

Razlan berkata, dua ujian pramusim itu yang dilalui dua pelumbanya, Andrea Dovizioso dan Darryn Binder menunjukkan peningkatan daripada catatan masa sepusingan di saat pasukan berusaha mencuba beberapa peralatan dan pelarasan.

"Tiga hari yang sangat baik dan ujian berlangsung dengan begitu positif di Litar Mandalika," kata prinsipal pasukan, Razlan. "Pelumba kami sentiasa meningkat catatan masanya yang mana sangat penting walaupun keadaan di trek tidak begitu baik, namun meningkat setiap hari."

Dalam ujian selama tiga hari itu, Dovizioso melengkapkan tiga sesi ujian dengan catatan masa terbaiknya 1 minit 31.890 saat (s) manakala Binder melakukan 1'33.049s.

Perlumbaan GP Qatar dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Losail untuk saingan pembuka tirai kempen 2022 sebelum Litar Mandalika menjadi lokasi kedua musim dari 18 hingga 20 Mac.

"Saya sudah pasti akan hadir di GP Indonesia bulan depan, keadaan akan bertambah baik di trek dan di kawasan lain. Kedua-dua pelumba (dalam ujian pramusim) mencuba banyak peralatan.

"Semuanya berlangsung dengan positif baik dari sudut pelarasan dan keserasian. Terutamanya Darryn, yang masih perlu mengenali motosikal dan cuba memahami litar.

"Andrea mencuba barang baharu, cuba meningkatkan dirinya dan lebih selesa ketika menunggang M1. Selepas dua minggu ujian di Sepang dan Mandalika, kami sudah bersedia untuk GP Qatar.

"Sudah tentu kami mempunyai beberapa lagi sesi ujian sebelum perlumbaan di Losail tetapi pasukan sudah bersedia dan pelumba juga begitu," kata Razlan.

Berita Harian X