Ahad, 13 Februari 2022 | 6:09pm
Gambar fail - Pelumba negara pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah.
Gambar fail - Pelumba negara pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh uji Honda CBR1000RR-R bulan depan

KUALA LUMPUR: Pelumba negara pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah akan menguji jentera baharunya pada bulan depan selepas menyambut kelahiran anak sulung.

Hafizh yang pernah beraksi dalam kelas Moto2 dan MotoGP di Kejuaraan Motosikal Dunia itu berkata dia akan menguji motosikal Honda CBR1000RR-R.

"Ramai yang bertanya bila saya akan menguji secara rasmi. Saya akan menjalani ujian rasmi jentera berkenaan pada bulan Mac ini selepas isteri melahirkan anak.

"Pasukan pun baru dapat motosikal dan mereka sedang mempersiapkan motosikal itu, jadi ia mengambil sedikit masa," katanya yang pada ketika ini giat menjalani latihan termasuk menyertai beberapa kejohanan tempatan seperti MSF Supermoto.

"Dengan menyertai MSF ini, sedikit sebanyak ia membantu untuk saya berlatih. Ada yang boleh saya ambil (pengalaman daripada MSF Supermoto) dan campurkan (corak tunggangan) apabila berlatih dan berlumba (menggunakan jentera berbeza).

"Ini boleh membantu saya apabila berada dalam kejohanan nanti, akan membantu saya untuk menjadi lebih baik dan terus meningkat."

Hafizh yang mempunyai lapan tahun pengalaman di MotoGP memasuki karier perlumbaan baharu di WSBK tahun ini bersama pasukan MIE Racing Honda Team.

Pelumba berusia 27 tahun itu bakal bergandingan bersama pelumba dari Argentina Leandro Mercado yang pada musim lalu berada di tangga ke-21 keseluruhan dalam carta pelumba bagi kelas perdana di WSBK, WorldSBK.

Kalendar WSBK 2022 bakal menyaksikan 12 pusingan berlangsung dengan tirai saingan dijadual bertempat di Litar Aragon, Sepanyol dari 8 hingga 10 April ini.

Berita Harian X