Selasa, 18 Januari 2022 | 8:07pm
Gambar fail - Sharul Ezwan Sharil.
Gambar fail - Sharul Ezwan Sharil.

Sharul berehat seketika, beri tumpuan kepada SPM

KUALA LUMPUR: Sharul Ezwan Sharil mahu berehat seketika daripada arena sukan permotoran dua roda bagi memberi tumpuan penuh kepada akademik.

Ezwan atau dikenali sebagai Juan yang menyertai saingan Asia Talent Cup (ATC) dan European Talent Cup (ETC) pada musim lalu berkata, dia kini mahu memberikan tumpuan penuh dalam pembelajarannya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Setakat ini, saya nak fokus kepada SPM terlebih dulu dan selepas itu baru membuat keputusan (pembabitan dalam arena permotoran).

"Itu adalah perancangan saya bagi tahun ini, memberikan tumpuan 100 peratus kepada SPM," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Selangor itu.

Musim lalu, Juan menamatkan kempen ATC 2021 yang dimenangi pelumba Jepun, Taiyo Furusato dengan 45 mata untuk berada di tangga kelapan keseluruhan.

Dalam kempen ETC pula, Juan menamatkan musim dengan berada di tangga ke-22 keseluruhan, berkongsi 13 mata dengan pelumba dari Perancis, Guillem Planques.

"Kalu ikutkan, memang saya tidak berpuashati (keputusan diraihnya musim lalu)," katanya yang sebelum ini menggalas cabaran di Asia dan Eropah mewakili pasukan pelapis, SIC Racing Team itu.

Kempen ATC 2022 dijadual berlangsung sebanyak enam pusingan dengan perlumbaan pembuka tirai diadakan di Litar Antarabangsa Losail dari 4 hingga 6 Mac ini manakala ETC pula, Pusingan 1 dijadual berlangsung pada 8 Mei ini di Litar Estoril.

Berita Harian X