Ahad, 16 Januari 2022 | 6:32pm
Putera Adam (tengah) meraikan gelaran keseluruhan dimenanginya pada Kejuaraan Karting Malaysia di Sepang hari ini.
Putera Adam (tengah) meraikan gelaran keseluruhan dimenanginya pada Kejuaraan Karting Malaysia di Sepang hari ini.

Putera Adam kuasai Kejuaraan Karting Malaysia

SEPANG: Pelumba Go-kart negara, Putera Adam Halim mengesahkan gelaran juara keseluruhan untuk kategori senior Kejuaraan Karting Malaysia 2021 yang melabuhkan tirainya di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang, di sini, hari ini.

Putera Adam muncul juara dengan pungutan 522 mata keseluruhan selepas beraksi dalam enam pusingan musim sekali gus meninggalkan seteru utamanya, 497 mata yang berada di tangga kedua, Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar. Tempat ketiga dimenangi Raja Ariff dengan 451 mata.

Dalam Perlumbaan Pusingan 7, Putera Adam menamatkan saingan dengan catatan masa terbaik 16 minit 22.522 saat manakala rakan sepasukan, Putera Imran ketinggalan 0.328s untuk berada di tangga kedua.

Melengkapkan pentas podium bagi kategori senior adalah Nik Iruwan dari pasukan DRM Racing Team dengan catatan masa 16:23. 823s.

"Tentunya saya rasa gembira. Satu perjalanan musim yang sangat panjang, pelbagai cabaran dilalui dalam tempoh itu tetapi saya gembira kerana meraih gelaran.

"Di sepanjang musim ini, cabaran paling besar adalah untuk cuba mengekalkan konsistensi. Kita tahu yang kita mempunyai kelajuan diinginkan tetapi cabaran itu lebih kepada untuk tidak melakukan kesilapan dan kekal konsisten," kata pelumba IS Racing itu.

Untuk rekod, Putera Adam pernah mengecap pelbagai gelaran termasuk menjadi pemandu go kart Malaysia pertama menaiki memenangi dua pusingan berturut-turut di Siri Super WSK Master di Itali pada 2017.

Putera Adam yang memulakan kariernya dalam arena permotoran empat roda sejak usia lapan tahun itu turut pernah meraih gelaran juara keseluruhan di Kejuaraan X30 Asia pada 2018.

Musim lalu, pemandu berasal dari Subang Jaya berusia 16 tahun itu menutup kempen Rotax Malaysia dengan keputusan terbaiknya meraih satu kemenangan di Pusingan 1 dan kedua di Pusingan 3.

Berita Harian X