Jumaat, 14 Januari 2022 | 9:00pm
Razlan (kiri) bersama Bruce Lee selepas menandatangani perjanjian tajaan.
Razlan (kiri) bersama Bruce Lee selepas menandatangani perjanjian tajaan.

RCB taja WithU Yamaha RNF tiga tahun

KUALA LUMPUR: Syarikat kelengkapan motosikal, Racing Boy (RCB) menjadi penaja kedua tempatan bagi pasukan MotoGP, WithU Yamaha RNF MotoGP Team.

Lebih menarik, RCB dan pasukan yang dikendalikan Datuk Razlan Razali ini mengikat perjanjian selama tiga musim sehingga 2024. "Kami mengalu-alukan kedatangan RCB bersama WithU Yamaha RNF MotoGP Team. RCB bukan nama asing dalam MotoGP dan menjadi salah satu penaja kami dalam pasukan sebelum ini.

"Saya berbangga dengan peningkatan dipamerkan RCB dengan penyertaan mereka dalam arena perlumbaan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

"Saya teruja dapat bekerjasama dengan RCB dalam menyediakan barangan motosikal terbaik dan berkualiti tinggi buat pasukan," kata Prinsipal Pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Team, Razlan dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MKA Group, Bruce Lee berkata: "MotoGP adalah kemuncak bagi mana-mana perlumbaan motosikal di dunia.

"Ia adalah platform terbaik untuk kami terus menyesuaikan usaha R&D kami ke arah produk dan perkhidmatan mengikut piawaian dunia.

"Kami ingin mengucapkan yang terbaik kepada pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Team dan kami amat menantikan musim 2022 ini."

Sebelum ini, sebuah syarikat perunding teknologi tempatan, Telcowin muncul sebagai salah satu daripada dua penaja tempatan yang akan bersama pasukan pada musim ini.

Berita Harian X