Jumaat, 14 Januari 2022 | 4:20pm
Affendi (tengah) umum persaraan pada hujung musim lalu.
Affendi (tengah) umum persaraan pada hujung musim lalu.

Kekosongan ditinggalkan Affendi sudah diisi

KUALA LUMPUR: Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing sudah mempunyai pengganti pelumbanya, Md Affendi Rosli bagi mengharungi kempen Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022.

Pengurus teknikal pasukan, Mohammad Syafari Saad berkata, tempat kosong ditinggalkan Affendi yang mengumumkan persaraannya musim lalu itu sudah 'diisi', namun pengumuman rasmi mengenai pelumba baharu itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Katanya, dua lagi pelumba iaitu Ahmad Afif Amran dan Md Aiman Tahiruddin masih kekal untuk beraksi dalam kelas perdana CP150 dan tiada pertukaran dibuat bagi kelas CP125.

"Kita sudah mempunyai nama untuk menggantikan Affendi namun pengumuman hanya akan dibuat paling tidak dalam minggu depan.

"Pelumba baharu ini sudah mengikat kontrak dengan pasukan dan pada masa ini, mereka sedang menjalani latihan secara bersama," kata Syafari atau dikenali sebagai Amir.

Pada penghujung musim 2021, Affendi membuat keputusan untuk bersara selepas 17 tahun bergiat aktif dalam sukan permotoran bagi memberi tumpuan penuh kepada kerjayanya di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Spekulasi mengenai pengganti Affendi mula bermain dalam kalangan peminat sukan permotoran domestik dengan nama seperti Md Izzat Zaidi Md Salehan turut menjadi bualan bagi menyertai pasukan itu.

Kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 bakal menyaksikan 10 pusingan berlangsung di litar tetap dengan Litar Antarabangsa Sepang Utara menjadi venue pertama dari 12 hingga 13 Mac ini.

Berita Harian X