Jumaat, 7 Januari 2022 | 5:43pm
Azlan (kiri) dan Hafizh Syahrin akan berentap di Litar Tangkak, Ahad ini.
Azlan (kiri) dan Hafizh Syahrin akan berentap di Litar Tangkak, Ahad ini.

Hafizh Syahrin, Azlan berentap di Tangkak

KUALA LUMPUR: Litar Tangkak, Johor bakal menyaksikan 'pertempuran' antara dua pelumba ternama Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dan Azlan Shah Kamaruzaman pada aksi Pusingan 3 MSF SuperMoto 2021/22, Ahad ini.

Namun, persaingan bukan saja terarah kepada dua bekas pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia itu apabila saingan turut disertai juara dua kali SuperMoto Asia, Gabit Salleh dan Danial Haiqal dari pasukan KMTR.

Azlan dijadual menyertai perlumbaan dengan membawa momentum kemenangan di Pusingan 2 di litar sama bulan lalu namun pelumba berusia 37 tahun itu sedar akan persaingan sengit yang bakal dihadapinya.

"Dari sudut persaingan, Danial Haiqal masih menjadi ancaman dan saya menjangkakan satu lagi cabaran sengit dengannya," kata Azlan dalam satu kenyataan.

"Dengan penyertaan Hafizh Syahrin, saya gembira dia bersama di grid perlumbaan kerana ia bakal menjadikan saingan lebih menarik lagi.

"Saya akan melakukan yang terbaik mungkin untuk menamatkan perlumbaan di depan Hafizh Syahrin."

Sementara itu, Danial Haiqal yang dikenali sebagai 'SuperMoto Alien' turut menjangkakan satu persaingan sengit namun ia dianggap sebagai 'penambah perisa' dalam perlumbaan.

"Saya harap, saya dapat memberikan persaingan yang hebat kepada dua pelumba GP (Grand Prix) ini dan terus mengumpul mata berharga untuk kejuaraan," kata pelumba berusia 22 tahun itu.

Berita Harian X