Rabu, 5 Januari 2022 | 8:27pm
Naquib Azlan bersama adiknya, Nabil akan mewakili negara dalam saingan eRacing GP pada 9 Januari ini.
Naquib Azlan bersama adiknya, Nabil akan mewakili negara dalam saingan eRacing GP pada 9 Januari ini.

Naquib, Nabil sandaran negara saingan eRacing GP

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) mengumumkan gandingan adik beradik, Naquib dan Nabil Azlan akan mewakili negara dalam saingan eRacing GP yang akan dipertandingkan buat julung kalinya pada Kejohanan SEA eSports (SEA EC), 9 Januari ini.

Naquib dan Nabil mendominasi pusingan kelayakan kebangsaan pada 3 Januari lalu sekali gus menafikan peluang Ayman Aqeem yang meraih tempat ketiga. Naquib, abang kepada Nabil, memenangi pusingan kelayakan selepas mendahului selesa pada pusingan kelayakan.

Naquib adalah juara dua kali kategori emas bagi eRacing GP manakala Nabil yang sentiasa mengekori rapat abangnya itu pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Toyota Gazoo Racing Velocity Esports pada tahun lalu.

"Saya sangat berbangga dan berbesar hati dapat mewakili Malaysia bersama-sama adik saya Nabil. Ini adalah peluang terbaik untuk kami mempamerkan aksi yang terbaik serta mencabar pelumba serantau," kata Naquib.

Dua pelumba terbaik dari tujuh negara akan berentap pada pusingan akhir yang akan berlangsung 9 Januari ini. Antara negara yang mengambil bahagian adalah Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Vietnam dan Filipina.

Sementara itu, pengasas eRacing GP, Alex Yoong, berkata: "Saya amat teruja. Ini adalah kali pertama eRacing dipertandingkan dalam SEA EC dan ia adalah satu pengiktirafan buat warga sukan permotoran.

"Saingan sudah pasti akan lebih menarik memandangkan semua negara menghantar pelumba terbaik mereka," katanya.

Berita Harian X