Rabu, 5 Januari 2022 | 6:44pm
Gambar fail - Aksi perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia sebelum ini. - Foto ihsan Malaysiasbk.com
Gambar fail - Aksi perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia sebelum ini. - Foto ihsan Malaysiasbk.com

Superbike Malaysia 2022 kembali tiga pusingan

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) kembali diadakan sebanyak tiga pusingan bagi musim 2022 selepas hanya dua pusingan berlangsung tahun lalu.

Perlumbaan yang akan berlangsung secara eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu dijangka menarik penyertaan pelumba ternama negara untuk bersaing dalam empat kategori utama iaitu MSBK 1000, MSBK 600, MSBK 250 dan MSBK 150.

Pusingan pertama perlumbaan akan berlangsung pada 29 hingga 31 Julai, diikuti 2 hingga 4 September (pusingan kedua) dan 3 hingga 6 November (pusingan ketiga).

"Di sebalik cabaran yang dihadapi susulan pandemik COVID-19, pelumba dan pasukan yang menyertai perlumbaan pada musim 2021 tetap memberikan prestasi terbaik mereka.

"Ia adalah platform terbaik bagi membuktikan Malaysia memiliki pelumba yang berbakat dan kami mengharapkan akan ada lebih banyak penyertaan bagi saingan musim 2022. Sorakan peminat di tempat duduk penonton pastinya akan meningkatkan lagi motivasi pelumba.

"Sebagai penyedia venue yang bertanggungjawab, tahap keselamatan dan kebajikan semua yang terbabit adalah menjadi keutamaan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg, berkata MSBK sentiasa berjaya menarik minat pelumba utama negara untuk menyertainya sekali gus menjanjikan perlumbaan yang berkualiti dalam setiap kategori.

"Kami teruja untuk menganjurkan perlumbaan 2022. Pada masa yang sama, kami juga akan berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang mengalu-alukan pelumba baharu yang akan memberikan mereka pengalaman perlumbaan bersama pelumba terbaik semasa kami," katanya.

Berita Harian X