Isnin, 3 Januari 2022 | 6:35pm
Gambar fail - Datuk Razlan Razali. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Datuk Razlan Razali. - Foto BERNAMA.

SRT tinggalkan 1,001 kenangan bersama kejuaraan motosikal dunia

KUALA LUMPUR: Sepang Racing Team (SRT) melabuhkan penyertaan pada Kejuaraan Motosikal Dunia dengan 1,001 kenangan yang pastinya sukar untuk dilupakan.

SRT bermula dengan sebuah pasukan kecil yang beraksi dalam kelas Moto3 pada 2015 dan sejak daripada itu melebarkan sayap penyertaan mereka dalam semua kelas dipertandingkan termasuk MotoGP pada 2019.

Bagi bekas prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, pengakhiran perjalanan SRT ini bukan sesuatu diinginkan namun itu adalah hakikat yang perlu diterima semua pihak.

Merumuskan perjalanan pasukan MotoGP sejak 2019, katanya, pasukan satelit Yamaha itu menunjukkan mutu persaingan yang tinggi dan buktinya pelumba pasukan, Franco Morbidelli mampu menamatkan kempen 2020 di tempat kedua keseluruhan.

"Kita juga mempunyai pelumba legenda dan GOAT (terbaik sepanjang zaman), Valentino Rossi bersama pasukan PYSRT (PETRONAS Yamaha SRT) yang pastinya akan diingati dan berada dalam catatan sejarah.

"Kami mahu melakukan lebih lagi terutama sebagai platform buat pelumba Malaysia tetapi malangnya situasi tidak membenarkan untuk kami terus berusaha pelumba Malaysia ke Kejuaraan dunia 2022. Kami berharap akan ada pihak tertentu yang boleh mengambilalih peranan ini.

"Terima kasih juga kepada semua peminat pasukan terutama kepada yang membenci. Ia menunjukkan minat mereka terhadap MotoGP dan pasukan sebenarnya tabah.

"Peminat MotoGP beremosi dan lantang dan itu adalah menjadi sebahagian daripada permainan. Kami disanjung ketika dapat melakukan yang terbaik dan dibenci apabila sebaliknya atau sekiranya tidak ada pelumba Malaysia.

"Kami tidak boleh memenangi hati semua penyokong namun kami sudah mencuba sebaik mungkin," kata Razlan yang selepas ini bakal mengemudi pasukan RNF MotoGP Team.

RNF MotoGP Team bakal membuat pengumuman rasmi mengenai penyertaan mereka di Kejuaraan Dunia pada 24 Januari ini dengan pasukan membariskan dua pelumbanya iaitu Andrea Dovizioso dan Darryn Binder.

Berita Harian X