Ahad, 2 Januari 2022 | 2:51pm
Syarifuddin (depan) kekal berlumba di CEV Moto3 Remaja Dunia, bermula Mei depan.
Syarifuddin (depan) kekal berlumba di CEV Moto3 Remaja Dunia, bermula Mei depan.

Damok kekal berlumba di CEV

KUALA LUMPUR: Pelumba muda, Syarifuddin Azman bakal membuat penampilan ketiganya di Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia yang akan membuka tirai kempen 2022 di Litar Estoril, Portugal, Mei depan.

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok itu sekali lagi mewakili pasukan Monlau Motorsport selepas menamatkan musim lalu dengan berada di kedudukan kesembilan keseluruhan.

Menemani Damok di pentas CEV Moto3 Remaja Dunia adalah naib juara Asia Talent Cup (ATC) 2021, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang bakal mewakili pasukan Honda Junior Talent Team.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam pada itu turut mengumumkan secara rasmi, Hakim Danish Ramli akan membuat penampilan penuh di CEV European Talent Cup (ETC) bersama Monlau Motorsport selepas tahun lalu berada di kedudukan kelima keseluruhan di ATC.

Hakim juga bakal menyertai ATC buat tahun kedua yang pada kali ini turut disertai finalis Siri MiniGP Dunia iaitu Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli.

"Tahniah buat pelumba negara yang akan beraksi di kejohanan CEV dan ATC untuk musim 2022," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

"Cabaran pandemik Covid-19 tidak menghalang mereka untuk mempamerkan prestasi yang membanggakan pada tahun ini. Saya yakin Damok, Danial, Danish, Farres, Emil dan Farish dapat menaikkan lagi nama Malaysia di persada dunia."

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, musim 2022 memperlihatkan barisan pelumba yang mampu memberikan saingan kompetitif di CEV dan ATC.

"Saya juga sangat gembira kerana pihak Dorna Sports memberi peluang kepada finalis Siri MiniGP Malaysia untuk ke perlumbaan ATC 2022 dengan ketiadaan sesi pemilihan pada tahun ini.

"Saya yakin pelumba kita dapat berlumba dengan lebih baik pada musim 2022 di bawah bimbingan saya dan barisan jurulatih pasukan SIC Racing," katanya.

Berita Harian X