Jumaat, 31 Disember 2021 | 9:30pm
Pasukan Capit Racing Team sudah sedia berlumba di Litar Tangkak, esok.
Pasukan Capit Racing Team sudah sedia berlumba di Litar Tangkak, esok.

Capit Racing Team sedia gegar Kejuaraan Kapcai

KUALA LUMPUR: Pasukan dari Johor, Capit Racing Team sudah bersedia untuk mengharungi Kejuaraan Kapcai Endurance MMRA yang dijadual berlangsung di Litar Tangkak, Johor esok.

Pemilik pasukan, Safrizan Buang berkata, mereka sudah melakukan persiapan dari awal dalam usaha merangkul gelaran dalam tiga kategori disertai.

"Kalau diikutkan kita sudah melakukan persiapan dari awal namun diharapkan pada hari perlumbaan, ia akan berlangsung dalam keadaan cuaca baik. Diharapkan tidak hujan," kata Safrizan.

Pasukan membariskan tujuh pelumba untuk tiga kelas disertai iaitu Mohamad Khuzaini Mahmood, Danish Abd Rahman dan Sani Irfan Safrizan bagi saingan Kelas 1 dengan menggunakan jentera nombor 8.

Muhammad Haiekal Akmal dan Mohammad Shah Khairil Hisham Mahmood mewakili pasukan dengan jentera bernombor 18 dalam kelas terbuka.

Turut mewakili pasukan dalam kelas terbuka adalah Muhammad Khairi Asyraf Mahmood dan Muhammad Khuzaini Mahmood, dengan menggunakan jentera bernombor 28.

Kejuaraan Kapcai Endurance MMRA 2022 menerima sambutan menggalakkan dengan 50 penyertaan pasukan bagi empat kelas dipertandingkan iaitu 100cc, 130cc, 150cc dan Terbuka 150cc.

Ia turut menerima sambutan dan sokongan menggalakkan daripada pihak penaja seperti syarikat telekomunikasi ONEXOX, Estremo, SCK Racing dan Rapido.

Berita Harian X