Rabu, 29 Disember 2021 | 6:16pm
Emil Idzhar , Farres Putra dan Farish Hafiy bakal beraksi di ATC musim depan. - Foto ZK racing
Emil Idzhar , Farres Putra dan Farish Hafiy bakal beraksi di ATC musim depan. - Foto ZK racing

4 pelumba kibar cabaran negara di ATC 2022

KUALA LUMPUR: Empat pelumba dua roda negara diketuai Hakim Danish Ramli bakal mengharungi cabaran di Asia Talent Cup (ATC) 2022.

Hakim yang menyertai musim penuh pada tahun lalu akan ditemani tiga pelumba baharu iaitu Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli.

Farres, Emil dan Farish bakal membuat penampilan sulung mereka di ATC bersama 11 lagi pelumba baharu dari Jepun, Indonesia, Vietnam dan Australia.

Turut berada dalam senarai 20 pelumba bagi musim depan adalah pemenang tempat ketiga keseluruhan 2021 dari Jepun, Gun Mie yang bakal memasuki tahun ketiganya di peringkat Asia itu.

Farres, Emil dan Farish adalah peserta Siri MiniGP Malaysia 2021 dan mereka menamatkan kempen dalam kelompok tiga terbaik.

Hakim yang mempunyai satu musim pengalaman di ATC pula, menamatkan kempen 2021 di kedudukan kelima keseluruhan dengan kutipan 57 mata.

Pada musim pertama, Hakim, 14, berjaya meraih tiga penamat di tempat ketiga, masing-masing di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada Mac dan April lalu.

Namun kemalangan dihadapinya sehingga mengakibatkan retak lengan kanan di Litar Mandalika, Indonesia pada November lalu menyaksikan diri tidak dapat meneruskan perlumbaan seterusnya gagal memperoleh mata diinginkan.

Kempen 2022 dijadual membuka tirai pada Februari nanti dengan ujian rasmi di Litar Antarabangsa Losail sebelum Pusingan 1 bertempat di litar sama dari 4 hingga 6 Mac.

Pusingan 2 dijadual berlangsung pada dari 18 hingga 20 Mac di Litar Mandalika sebelum Litar Twin Ring Motegi, Jepun menjadi lokasi seterusnya dari 23 hingga 25 September.

Litar Antarabangsa Chang, Thailand bakal menjadi venue bagi Pusingan 4 dari 30 September hingga 2 Oktober sebelum Pusingan 5 bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (21 hingga 23 Oktober).

Litar Mandalika sekali lagi menjadi tumpuan apabila bakal menjadi lokasi bagi pusingan kemuncak musim bersekali dengan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dari 11 hingga 13 November.

Berita Harian X