Isnin, 27 Disember 2021 | 5:20pm
Aksi Zaqhwan di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021, Oktober lalu. - Foto MSBK
Aksi Zaqhwan di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021, Oktober lalu. - Foto MSBK

Zaqhwan bimbang Omicron jejaskan ARRC 2022

KUALA LUMPUR: Pelumba dua roda negara, Zaqhwan Zaidi mengharapkan kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 dapat berlangsung tanpa sebarang halangan selepas dua musim terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Zaqhwan yang beraksi dalam kelas perdana ASB1000cc berkata, terdapat kebimbangan dalam dirinya dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron yang mungkin menyekat pergerakan pelumba ke venue perlumbaan seperti dialami dalam tempoh dua tahun ini.

Justeru, pelumba berusia 26 tahun itu berharap, tahun depan bakal menyajikan sesuatu yang lebih baik apatah lagi sudah lama tidak menyertai saingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Kalau diikutkan, perancangan jadual perlumbaan itu sudah ada termasuk juga di peringkat Asia (ARRC). Jadi saya harap tak ada halangan bagi tahun depan.

"Bimbang juga sebab ada varian baharu, tak tahulah kalau kita akan diberikan kelonggaran (sekatan perjalanan), harap tak ada masalah apa-apa nanti.

"Namun untuk masa ini, saya tetap melakukan persiapan untuk diri sendiri, fizikal dan sebagainya," kata Zaqhwan yang turut bakal memberi tumpuan untuk Kejuaraan Seluruh Jepun (AJRC) dan perlumbaan 8 Jam Suzuka, sekiranya menyertainya.

"Saya belum lagi menerima pengumuman untuk itu (AJRC dan 8 Jam Suzuka), jadi buat masa ini persiapan itu lebih terarah ke ARRC," katanya.

Zaqhwan yang meraih tempat ketiga keseluruhan ketika penampilan pertama kelas berkenaan pada 2019 turut menantikan aksi pembukaan jendela 2022 ARRC di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, Mac ini bersama jentera baharu Honda CBR1000RR-R.

"Mengenai jentera, kami sudah memperoleh keserasian dengannya ketika MSBK (Kejuaraan Superbike Malaysia) tahun ini. Walaupun motosikal itu tidak sepenuhnya lengkap (spek perlumbaan) namun kita sudah tahu di mana kemampuan motosikal berkenaan.

"Sekarang ini, kita bersiap sedia untuk sesi ujian rasmi pada Mac ini. Masa itu akan menggunakan spesifikasi penuh untuk perlumbaan Asia. Kita mempunyai keyakinan dan boleh mencuba mana-mana bahagian yang boleh difikirkan untuk dipertingkatkan lagi," katanya.

Pada 2019, Zaqhwan yang mewakili pasukan HONDA Asia Dream Racing With SHOWA meraih tempat ketiga keseluruhan dengan 211 mata, 27 mata di belakang juara sulung dari ONEXOX TKKR SAG Team, Azlan Shah Kamaruzaman.

Tempat kedua dimenangi pelumba Yamaha Racing Team ASEAN, Broc Parkes.

Berita Harian X