Ahad, 26 Disember 2021 | 6:28pm
Danial (kiri) meraikan penamat di tempat kedua di Litar Mandalika, Indonesia bulan lalu.
Danial (kiri) meraikan penamat di tempat kedua di Litar Mandalika, Indonesia bulan lalu.

Danial tekad gegar CEV Moto3 Remaja Dunia

KUALA LUMPUR: Pelumba muda, Danial Syahmi Ahmad Shahril bakal memasuki fasa saingan lebih tinggi di Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia tahun depan selepas muncul naib juara dalam saingan Asia Talent Cup (ATC) musim ini.

Justeru, pelumba berusia 19 tahun itu meletakkan harapan awal untuk memburu penamat dalam kelompok 15 teratas yang menjanjikan kutipan mata pada setiap pusingan perlumbaan.

"Sasaran saya adalah untuk meraih mata dalam setiap perlumbaan dan sekiranya ada rezeki, saya mahu memburu penamat dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan," kata Danial yang pernah diberi kepercayaan menggantikan slot seorang pelumba PETRONAS Sprinta SIC Junior Team dalam saingan CEV Moto3 di Litar Catalunya, Jerez dan Albacete pada 2018.

Pada kempen ATC 2021, Danial menamatkan saingan dengan 119 mata, 56 mata di belakang juara sensasi dari Jepun, Taiyo Furusato.

Danial mempamerkan prestasi konsisten dengan memperoleh lima penamat di tempat kedua, masing-masing di Litar Antarabangsa Losail pada April dan Litar Mandalika, Indonesia, November lalu.

Merumuskan prestasinya musim ini, Danial yang pernah mengalami kemalangan ngeri ketika pusingan ATC di Litar Antarabangsa Sepang pada 2018 itu berkata, dia sedikit kecewa namun yakin keputusan itu bakal menjadi pembakar semangat menghadapi saingan CEV Moto3 tahun depan.

"Saya kurang berpuashati tahun ini kerana tak dapat gelaran juara keseluruhan. Saya tak dapat pun nombor satu dalam ATC tahun ini.

"Jadi, ia sedikit mengecewakan namun selepas kempen berakhir, saya bersyukur kerana dapat nombor dua keseluruhan. Alhamdulillah, dapat juga berada dalam kelompok tiga terbaik kerana saya baru kembali daripada kemalangan.

"Ia satu petunjuk yang baik untuk keadaan diri saya dan ia memberi keyakinan buat saya untuk mengharungi cabaran tahun depan," katanya.

Berita Harian X