Sabtu, 18 Disember 2021 | 5:21pm
Mohd Adib Rosley meraikan kejayaan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP125 musim ini. - Foto ihsan Cub Prix Malaysia.
Mohd Adib Rosley meraikan kejayaan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP125 musim ini. - Foto ihsan Cub Prix Malaysia.

Adib juara keseluruhan kelas CP125 Cub Prix Malaysia

KUALA LUMPUR: Mohd Adib Rosley dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP125 musim ini selepas menamatkan aksi Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di kedudukan keenam dalam perlumbaan di Litar Sepang Selatan, Sepang hari ini.

Adib yang menggalas cabaran pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing mengutip 10 mata sekali gus sudah cukup untuk memastikan kejuaraan menjadi miliknya dengan keseluruhan 160 mata.

"Pada perlumbaan tadi, saya hanya ingin berlumba secara selamat dan tidak mahu mengambil risiko yang terlalu tinggi terutama sekali apabila saya mengetahui bahawa Hafiza (Mohd Hafiza Rofa) menghadapi masalah teknikal," katanya.

Dalam perlumbaan, hari ini rakan sepasukan Adib, Mohd Fareez Afeez Abd Rahman muncul juara mengatasi pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Mohd Syafiq Rosli yang menamatkan saingan di tempat kedua.

Pelumba Tuneboss Pink Racing, Mohd Harith Farhan Baharin pula mengakhiri perlumbaan di kedudukan ketiga.

Sementara itu, perebutan takhta dalam CP150 akan ditentukan di Pusingan 10 apabila Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing berjaya merampas kedudukan pendahulu selepas memenangi perlumbaan Pusingan 9.

Afif yang sedang memburu gelaran juara ketiga dalam kelas perdana mencatat kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 15 minit 53.188 saat (s).

Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menduduki tempat kedua disusuli Kasma Daniel Kasmayudin ketiga.

Kategori Wira KBS turut menyaksikan perubahan apabila pelumba Moto1 Koyoko Honda KC Racing, Mohd Irfan Haykhal Amidi mengambil alih kedudukan pendahulu kejuaraan selepas berjaya meraih kemenangan ketiganya musim ini dengan catatan masa 11:16.411s

Kemenangan ketiga berturut-turut ini meletakkan Irfan di tangga teratas kejuaraan Wira KBS dengan 125 mata.

Mohd Aqil Danial Nasrul yang memimpin buruan juara Wira KBS sepanjang musim ini, jatuh ke tangga ke-2 dengan 123 mata apabila hanya berjaya menamatkan perlumbaan Pusingan 9 di tempat ke-6.

Berita Harian X