Khamis, 16 Disember 2021 | 8:17pm
Md Aqil (depan) berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan kelas Wira.
Md Aqil (depan) berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan kelas Wira.

Aqil ramal saingan sengit kelas Wira

KUALA LUMPUR: Pendahulu keseluruhan kelas Wira Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Md Aqil Danial Nasrul menjangkakan saingan sengit bakal berlaku pada pusingan kemuncak musim 2021 di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.

Pada ketika ini, pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing itu sudah mengumpul 113 mata dan mengekori rapatnya adalah rakan sepasukan, Danial Johan.

Danial ketinggalan sembilan mata daripada Aqil namun perebutan gelaran kali ini turut disertai pelumba Moto1 Koyoko Honda KC Racing, Md Irfan Haykhal Amidi (100 mata) dan Castrol Power1 Honda Team, Md Harith Haziq Zamri (99 mata).

"Saya rasa semua pelumba mempunyai kekuatan Danial juga kuat. Apapun, tengok kepada rezeki, saya kalau boleh ingin menang. Saya sudah melakukan persiapan untuk mengejar juara keseluruhan," kata Aqil.

Seandainya salah seorang pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing itu muncul juara, ia secara tidak langsung menyaksikan penguasaan pasukan buat kali ketiga berturut-turut.

Pasukan yang dikendali bekas juara Cub Prix 2004, K Sivanesan itu sudah meraih dua gelaran dalam kelas Wira pada 2019 dan 2020, masing-masing menerusi Md Aliff Danial Md Asri dan Rahimi Nabil Razu.

Dalam pada itu, Danial mengakui sedikit tertekan apatah ini adalah pengalaman sulungnya bersaing merebut gelaran juara keseluruhan.

"Ini kali pertama saya merebut kejuaraan. Jadi, saya akan cuba pamerkan tunggangan menarik tetapi kalau tak boleh jadi juara, kami akan bantu Aqil dapatkan gelaran juara," katanya.

Berita Harian X