Jumaat, 10 Disember 2021 | 7:40pm
Aksi Azroy Hakeem ketika saingan Pusingan 7 di Litar Tangkak, Johor bulan lalu. - Foto ihsan Cub Prix Malaysia
Aksi Azroy Hakeem ketika saingan Pusingan 7 di Litar Tangkak, Johor bulan lalu. - Foto ihsan Cub Prix Malaysia

Honda Yuzy Idemitsu harap tuah di Sepang

KUALA LUMPUR: Pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team mengharapkan tuah di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal memihak kepada mereka dalam pusingan kemuncak musim Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 dari 17 hingga 19 Disember ini.

Kali terakhir pelumba pasukan itu muncul juara keseluruhan adalah menerusi Zaqhwan Zaidi yang mengungguli kelas perdana ketika itu iaitu CP130 dan sandaran kali ini tentunya ke arah Azroy Hakeem Anuar dalam CP150.

Azroy pada ketika ini mendahului carta keseluruhan pelumba dengan 125 mata, namun perlumbaan di Sepang bakal menjadi sengit apabila diekori rapat dua pencabar utama iaitu Ahmad Afif Amran dan Md Akid Aziz.

Afif dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing hanya ketinggalan empat mata di belakang Azroy manakala Akid (ONEXOX TKKR Racing Team) berada di tangga ketiga dengan perbezaan 19 mata daripada penghuni tangga pertama.

Begitupun, bagi pengurus pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini percaya Azroy mampu menggalas cabaran di Sepang sekali gus memburu gelaran pertama yang pastinya diidamkan anak buahnya itu.

"Untuk pusingan kemuncak nanti, kami mendahului dengan empat mata. Ia sebenarnya satu jurang yang sangat kecil. Oleh itu, kami tak begitu mengharap namun segala persiapan baik daripada pelumba, motosikal sudah dilakukan dengan lebih baik berbanding perlumbaan sebelum ini.

"Kami mengharapkan sesuatu yang baik. Pasukan juga yakin dengan kemampuan Azroy serta kru tetapi ia semuanya terpulang kepada rezeki. InsyaAllah, kalau ada rezeki, kejuaraan itu menjadi milik kami.

"Kali terakhir pelumba pasukan muncul juara keseluruhan kelas perdana adalah menerusi Zaqhwan pada 2014. Kalau diikutkan, kita nak menjuarai kelas CP150 ini memang sukar tetapi kami menjadikannya sebagai satu cabaran. Memang ia satu cabaran yang getir," kata Yuzy.

Mengulas mengenai Azroy, Yuzy berkata, dia mengharapkan anak buahnya itu dapat menebus kekecewaan selepas dua tahun muncul naib juara keseluruhan pada 2019 dan 2020.

"Azroy sudah dua kali naib juara pada 2019 dan 2020. Ini tahun ketiga kami mencuba. Jadi kami mengharapkan tuah dan doa daripada semua supaya perjalanan perlumbaan kami diakhiri dengan sempurna," katanya.

Berita Harian X