Khamis, 9 Disember 2021 | 5:12pm
Afif (depan) menjuarai pusingan di Tangkak, bulan lalu.
Afif (depan) menjuarai pusingan di Tangkak, bulan lalu.

Pertarungan tiga penjuru di Sepang

KUALA LUMPUR: Kemuncak Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 17 hingga 19 Disember ini, pasti berlangsung sengit apabila tiga pelumba akan berentap untuk merebut kejuaraan kategori CP150.

Di atas kertas, pelumba Honda Yuzy Team, Azroy Hakeem Anuar mendahului carta pelumba dengan 125 mata namun mengekori rapat adalah juara dua kali 2018 dan 2019 iaitu Ahmad Afif Amran dari PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing.

Hanya empat mata dibezakan antara Azroy dan Afif manakala Md Akid Aziz dari ONEXOX TKKR Racing Team turut berpeluang untuk membolot sebanyak mana mata yang ditawarkan dalam dua perlumbaan di Sepang nanti.

Akid yang menawan Litar Sepang Utara pada September lalu, pada ketika ini mengumpul 106 mata dan dipisahkan 15 mata dengan Afif dan 19 mata daripada Azroy.

Bagi Afif, peluang sememangnya terbuka luas bagi kelompok tiga teratas ini memburu gelaran dan menjangkakan saingan sengit akan meletus di Sepang.

"Saya boleh katakan trek besar seperti Sepang ini, semua mempunyai peluang sama rata. Jadi saya jangkakan persaingan akan menjadi sengit kerana ini adalah pusingan kemuncak dan masing-masing mahu mencari penamat di podium.

"Saya juga ingin mencari mata maksimum di Sepang. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya mahu meraih gelaran kali ketiga," kata Afif.

Pada musim lalu, Afif menamatkan kempen 2020 di kedudukan kelapan dengan 49 mata manakala Md Helmi Azman muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 143 mata.

Berita Harian X