Jumaat, 26 November 2021 | 6:01pm
Rossi dan pasukan bergambar kenangan selepas GP Valencia.
Rossi dan pasukan bergambar kenangan selepas GP Valencia.

PETRONAS Yamaha SRT ucap selamat tinggal

KUALA LUMPUR: Grand Prix (GP) Valencia pertengahan bulan lalu bukan saja menyaksikan penutup tirai bagi musim 2021 tetapi juga pengakhiran perjalanan bagi pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) di Kejuaraan Motosikal Dunia.

Selepas tiga tahun beraksi dalam kelas perdana MotoGP, SRT mengucapkan selamat tinggal dengan 1,001 sejarah tersendiri termasuk menyaksikan legenda dua roda, Valentino Rossi turut menamatkan kariernya selaku pelumba bersama pasukan ini.

Bagi prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, ia tentunya satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan apatah lagi pasukan berjaya meraih beberapa gelaran pada dua tahun terawal menyertai kelas perdana itu.

"Tiga tahun yang hebat, dengan cabaran yang berliku. Apapun, kami berjaya meraih beberapa pencapaian dalam tempoh berkenaan," kata Razlan yang bermula musim depan bakal menggalas tugas bersama pasukan miliknya, RNF MotoGP Team.

Bermula pada 2019, SRT yang ditaja PETRONAS berjaya meraih tiga gelaran utama dalam kelas perdana MotoGP antaranya anugerah 'Independent Team' Terbaik.

Malah pelumbanya, Fabio Quartararo turut berjaya menyerlah dengan meraih gelaran pelumba terbaik dalam klasifikasi 'Independent Team' selain dinobatkan selaku pelumba rookie terbaik bagi musim berkenaan.

Pada 2020, pasukan meneruskan rentak cemerlang apabila Franco Morbidelli berjaya menamatkan musim 2020 dengan muncul selaku naib juara, pelumba terbaik dalam 'Independent Team' dan mengekalkan gelaran 'Independent Team'.

Pasukan turut berjaya berada di kedudukan kedua daripada 11 pasukan MotoGP dengan 248 mata dan ketinggalan 62 mata di belakang Team Suzuki Ecstar yang menguasai carta pasukan terbaik keseluruhan, 310 mata.

Keputusan itu menyaksikan kemuncak prestasi pasukan selepas pada musim 2019, menamatkan saingan di tempat keempat dengan 307 mata di belakang pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP.

Begitupun, momentum itu tidak dapat dikekalkan bagi musim ini dengan menyaksikan pasukan hanya menamatkan kalendar 2021 dengan berada di tempat kelima daripada enam pasukan dalam klasifikasi 'Independent Team' dan berada di kedudukan ke-10 daripada 11 pasukan keseluruhan.

Mengulas mengenai pengakhiran karier Rossi bersama pasukan, Razlan berkata: "Kami sangat berbesar hati yang dia menamatkan kariernya bersama kita dan ia akan sentiasa berada dalam lakaran sejarah kerana pasukan terakhirnya adalah bersama PETRONAS Yamaha SRT."

Berita Harian X