Rabu, 18 November 2020 | 5:28pm
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli. - Foto ihsan bola.net
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli. - Foto ihsan bola.net

Morbidelli sudah sedia berdepan cabaran GP Portugal

KUALA LUMPUR: Litar Algarve yang menjadi lokasi kemuncak musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2020 minggu ini dianggap sebagai sebuah trek 'rollercoaster' bagi pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Franco Morbidelli.

Morbidelli yang berada di tangga kedua carta keseluruhan pelumba kelas MotoGP dengan 142 mata berkata, saingan di Grand Prix (GP) Portugal tentunya menyediakan cabaran tersendiri dan pelumba dari Itali itu sudah bersedia untuk mengharunginya.

"Saya amat menantikan perlumbaan di Portugal hujung minggu ini, saya pernah menunggang R1 dalam satu ujian sebelum GP Perancis. Tempat yang cantik, hampir dengan laut dan trek ini sangat berbeza berbanding yang pernah kami kunjungi sebelum ini.

"Ia seakan 'rollercoaster' di jalanan kerana terdapat banyak kawasan bukit yang curam. Ia sebuah litar yang penuh cabaran, jadi ia satu cabaran yang menyeronokkan bagi menamatkan musim," kata Morbidelli yang membawa momentum kemenangan di GP Valencia, minggu lalu.

"Sesuatu yang bagus apabila menyertai perlumbaan terakhir dengan kemenangan di Valencia, saya harap kami dapat bersaing dengan baik seperti dilakukan sebelum ini. Saya berharap, kami boleh meraih final yang baik untuk 2020, ia sesuatu yang bagus untuk membalas hasil usaha dilakukan pasukan."

Pelumba Team Suzuki Ecstar, Joan Mir memuktamadkan gelaran dunia MotoGP di GP Valencia minggu lalu dan ketika ini, Morbidelli sedang memburu kedudukan kedua terbaik dunia bagi musim 2020 dengan rakan Mir, Alex Rins (di tempat ketiga) menjadi pencabar terdekatnya apabila hanya dibezakan empat mata menjelang hujung minggu ini.

Sementara itu, rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo yang ketika ini berada di tangga kelima keseluruhan dengan 125 mata berkata, beliau mahu mendapatkan kembali 'perasaan yang hilang' sejak GP Perancis lalu.

"Ia sesuatu yang memalukan apabila kami tidak mampu meneruskan persaingan gelaran sehingga ke pusingan final, tetapi saya mahu menikmati perlumbaan terakhir bagi tahun ini. Untuk melakukannya, sasaran utama bagi hujung minggu ini adalah mencari perasaan serta kelajuan yang kami hilang sejak Le Mans.

"Saya sangat berharap yang kami boleh menamatkan musim dan tempoh dua tahun bersama pasukan dalam situasi yang baik dan meraih keputusan yang hebat," kata Quartararo yang pada musim depan menyertai pasukan utama pengeluar Yamaha, Monster Energy Yamaha MotoGP.

Berita Harian X