Sabtu, 17 Oktober 2020 | 9:10pm
Aksi Kasma Daniel Kasmayudin pada saingan GP Perancis di Litar Le Mans minggu lalu. - Foto ihsan FB Kasma Daniel
Aksi Kasma Daniel Kasmayudin pada saingan GP Perancis di Litar Le Mans minggu lalu. - Foto ihsan FB Kasma Daniel

'Anggap insiden pembakar semangat terus berjaya'

KUALA LUMPUR: Tragedi terbabas pelumba moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin ketika sesi latihan di Grand Prix (GP) Aragon sehingga menyaksikan motosikalnya melambung 'ala akrobatik' sebelum melanggar tembok penghadang di Litar MotorLand semalam, disifatkan sebagai satu proses pembelajaran buat seorang muka baharu.

Bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin dan Azlan Shah Kamaruzaman yang berkongsi detik tahun pertama mereka di Kejuaraan Motosikal Dunia, sepakat menyatakan insiden seperti itu harus dianggap sebagai satu pembakar semangat untuk terus berjaya di peringkat antarabangsa.

"Teruskan perjuangan Kasma Daniel," kata Zulfahmi dalam hantarannya pada akaun Facebook miliknya. "Ini proses yang perlu dilalui. Tahun pertama di Kejuaraan Motosikal Dunia 2010, saya terjatuh 26 kali. Jatuh, bangun dan berjuang lagi. Semangat."

Pada tahun pertama pada Kejuaraan Motosikal Dunia 2010, Zulfahmi yang ketika itu beraksi dalam kelas 125cc menamatkan musim berkenaan dengan mengumpul empat mata untuk berada di tangga ke-24 keseluruhan.

Ketika kelas berkenaan diangkat ke kelas Moto3 pada 2012, Zulfahmi yang turut pernah beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) meraih pencapaian terbaiknya dengan berada di tempat kedua di GP Malaysia dan ketiga di Valencia.

Ia adalah musim terbaik Zulfahmi dalam karier sepanjang empat tahun di Moto3, menamatkan kempen 2012 dengan mengumpul 128 mata untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan.

Dalam pada itu, Azlan yang pernah menyertai saingan kelas Moto2 selama dua musim pada 2014 dan 2015, turut berkongsi pengalaman pada musim pertamanya di saingan berprestij berkenaan.

"Tahun pertama secara keseluruhan untuk semua kelas, semuanya berada dalam kelompok lima teratas terbabas. Moto2, kelompok tiga teratas 'raja terbabas' untuk tahun pertama. Jadi itu adalah tahun pembelajaran," katanya.

Daripada proses pembelajaran itu, Azlan memperoleh koleksi kejayaan antaranya di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dalam kelas SuperSports 600cc pada 2013 dan 2017. Malah pelumba berusia 36 tahun itu turut merangkul gelaran juara Asia dalam kelas ASB 1000cc yang mula dipertandingkan di ARRC sebagai kelas perdana tahun lalu.

Berita Harian X