Sabtu, 17 Oktober 2020 | 3:04pm
Pemandu Mercedes-AMG PETRONAS, Lewis Hamilton pada perlumbaan Grand Prix Russia di Sochi, Russia pada 27 September lalu. - Foto EPA.
Pemandu Mercedes-AMG PETRONAS, Lewis Hamilton pada perlumbaan Grand Prix Russia di Sochi, Russia pada 27 September lalu. - Foto EPA.

Pendapatan Hamilton RM225 juta setahun

LONDON: Lewis Hamilton memperoleh pendapatan paling tinggi iaitu bernilai 42 juta pound (RM225 juta) setahun dalam satu pendedahan mengenai pendapatan keseluruhan 20 pemandu di Formula Satu (F1).

Bintang Mercedes itu yang mendahului senarai terkaya 'Sunday Times', memperoleh pendapatan dua kali ganda berbanding pemandu lain kecuali bintang Ferrari, Sebastian Vettel.

Pemandu Jerman, Vettel yang memilih Michael Schumacher berbanding Hamilton selaku pemandu terhebat sepanjang zaman, meraih pendapatan 37 juta pound (RM198 juta) setahun manakala Daniel Ricciardo menduduki tangga ketiga, meraih 16 juta pound (RM85.7 juta) setahun.

Max Verstappen yang mewakili Red Bull dan baharu berusia 23 tahun adalah antara bintang yang meraih pendapatan lebih daripada 10 juta pound (RM53.58 juta) semusim dengan 14 juta pound (RM75.01 juta).

Tujuh lagi pemandu termasuk Carlos Sainz dan Kimi Raikkonen meraih pendapatan lebih 1 juta pound (RM5.36 juta) manakala rakan sepasukan Vettel di Ferrari ketika ini, Charles LeClerc, 8 juta pound (RM42.86 juta).

Baki sembilan lagi pemandu semuanya meraih antara 175,000 pound (RM938,000) dan 900,000 pound (RM4.82 juta) semusim. Gandingan Williams, George Russell dan Nicholas Latifi - bersama pemandu Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi - menyertai kelompok pendapatan paling rendah.

Pemandu muda McLaren, Lando Norris juga termasuk dalam senarai sama dengan nilai 200,000 pound (RM1.07 juta).

Baru-baru ini, Hamilton, 35, menyamai rekod Schumacher dengan 91 kemenangan di F1 selepas meraih kemenangan di GP Eifel.

- AGENSI

Berita Harian X