Isnin, 12 Oktober 2020 | 5:13pm
Penunggang pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo menamatkan saingan di tangga kesembilan di Le Mans. - EPA
Penunggang pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo menamatkan saingan di tangga kesembilan di Le Mans. - EPA

Quartararo tetap positif

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo menyifatkan kedudukan tempat kesembilan yang diraihnya pada perlumbaan Grand Prix (GP), Perancis, semalam tetap sesuatu yang positif.

Quartararo yang diberi julukan 'El Diablo', berkata keputusan itu tetap penting dalam misinya mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kelas MotoGP menjelang perlumbaan GP Aragon, hujung minggu ini.

Pelumba Perancis itu ketika ini mendahului carta dengan mengumpul 115 mata diikuti pelumba Team Suzuki Ecstar, Joan Mir dengan 105 mata manakala Andrea Dovizioso dari Mission Winnow Ducati Team ketiga (97 mata).

Pada aksi di Le Mans itu, Quartararo terlepas peluang terbaik untuk sekurang-kurangnya menaiki podium selepas bermula di petak hadapan namun faktor cuaca yang tidak menentu sedikit menjejaskan rentak tunggangannya.

"Kami semua sudah berada di petak permulaan untuk memulakan perlumbaan dan selepas itu mula hujan yang mana ia sesuatu yang mengecewakan. Kami tahu, cuaca kering adalah lebih baik untuk kami.

"Ia perlumbaan yang sukar tetapi saya gembira kerana kami tidak berputus asa untuk bersaing. Pada pusingan terakhir apabila Joan (Mir) memintas saya, saya berjaya memintasnya semula.

"Ia penting untuk mengutip seberapa banyak mata yang boleh bagi membolehkan kami mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu," kata Quartararo.

Perlumbaan semalam dimenangi pelumba Ducati Team, Danilo Petrucci diikuti Alex Marquez dari Repsol Honda kedua manakala pelumba Red Bull KTM, Pol Espargaro ketiga.

Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-19.

Bagaimanapun, Khairul Idham yang lebih dikenali dengan julukan SuperKip tekad bangkit untuk menghasilkan keputusan yang lebih positif pada GP Aragon nanti.

Berita Harian X