Ahad, 4 Oktober 2020 | 11:53am
Syarifuddin (kiri), Adam (tengah) dan Sharul tekad bangkit di litar Aragon, hari ini. - Foto ihsan ZK Racing
Syarifuddin (kiri), Adam (tengah) dan Sharul tekad bangkit di litar Aragon, hari ini. - Foto ihsan ZK Racing

Adam, Syarifuddin, Sharul tekad bangkit

Oleh Sukhairi Thani

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Ketiga-tiga pelumba muda negara di Kejuaraan CEV bertekad untuk bangkit memperbaiki kelemahan pada perlumbaan Pusingan 6 yang dijadual berlangsung di Litar Aragon, hari ini.

Pada perlumbaan Pusingan 5 yang berlangsung di litar sama semalam, Adam yang beraksi di Kejuaraan Moto2 Eropah menamatkan saingan di tempat ke-10 yang baginya satu kekecewaan yang perlu ditebus, hari ini.

"Jujurnya, keputusan perlumbaan pertama di Aragon ini teruk. Namun saya perlu menerimanya.

"Dalam perlumbaan, akan ada naik turun. Saya kecewa dengan perlumbaan meskipun sudah melakukan dengan baik pada permulaan saingan.

"Saya masih mencari rentak di trek ini dan saya dapati ia sangat sukar. Namun ia bukan satu alasan dan saya akan terus berusaha untuk dua lagi perlumbaan esok (hari ini).

"Saya akan memberikanyang terbaik dan berharap, keputusan lebih baik berbanding hari ini (semalam)," kata Adam yang bermula dari petak ke-11 hari ini.

Syarifuddin Azman yang menyertai pasukan Monlau Motorsport di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia, menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 dengan catatan 30 minit 47.696 saat, 25.569s di belakang pemenang dari pasukan Openbank Aspar Team, Izan Guevara.

"Kurang berpuas hati dengan perlumbaan hari ini (semalam). Saya boleh katakan, saya memulakan perlumbaan dengan baik tetapi seorang pelumba memintas saya di selekoh 15 dan menyebabkan saya perlu menjarakkan diri dengan kelompok.

"Saya mengekalkan kelajuan sehingga akhir perlumbaan dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-18.

"Untuk esok (hari ini), sudah tentu saya perlu beraksi dengan lebih baik dan mendapatkan seberapa banyak mata yang termampu," kata Syarifuddin yang dijadual mengharungi dua perlumbaan sama seperti Adam, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sharul Ezwan Sharil yang menyertai dua perlumbaan di kejuaraan European Talent Cup (ETC) semalam berharap perlumbaan hari ini bakal berlangsung dengan lebih baik berbanding semalam.

"Dalam Perlumbaan 1, saya bermula dengan baik dan dapat memintas lima pelumba di depan saya. Saya cuba mengikut rentak kelompok depan tetapi mereka lebih laju dan saya tidak dapat mengikutinya.

"Saya mengekalkan kelajuan tetapi pada pusingan kesembilan, seorang pelumba di depan saya terjatuh ke arah saya ketika cuba memintas.

"Dalam Perlumbaan 2, saya mempunyai isu di bahagian brek disebabkan insiden pada Perlumbaan 1. Saya menamatkan perlumbaan (kedua) di tempat ke-21.

"Apapun, esok (hari ini) adalah hari yang baru dan saya akan berusaha lebih gigih untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik," kata Sharul.

Jadual Hari ini

5 ptg - Perlumbaan 1 (Moto3)

6 ptg - Perlumbaan 1 (Moto2)

7 ptg - Perlumbaan 1 (ETC)

8 mlm - Perlumbaan 2 (Moto3)

9 mlm - Perlumbaan 2 (Moto2)

*Waktu Malaysia

Perlumbaan boleh ditonton secara langsung di laman Youtube FIM CEV Repsol

Berita Harian X