Ahad, 27 September 2020 | 10:18pm
Reaksi Quartararo selepas kejayaannya memenangi GP Catalunya. FOTO AFP
Reaksi Quartararo selepas kejayaannya memenangi GP Catalunya. FOTO AFP

Quartararo takluk GP Catalunya

BARCELONA: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo meraih kemenangan ketiga dalam kariernya di kelas MotoGP musim ini selepas mengungguli perlumbaan Grand Prix (GP) Catalunya, sebentar tadi.

Quartararo yang berada di tahun kedua dalam kelas perdana itu melengkapkan 24 pusingan perlumbaan dengan catatan terpantas, 40 minit 33.176 saat (s), manakala dua pelumba pasukan Team SUZUKI ECSTAR, Joan Mir dan Alex Rins melengkapkan pentas podium dengan masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli yang bermula dari petak utama perlumbaan, menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Quartararo kini mendahului carta keseluruhan pelumba MotoGP dengan 108 mata, manakala Mir berada di tempat kedua dengan perbezaan lapan mata. Pelumba pasukan utama Yamaha, Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales berada di tempat ketiga dengan 90 mata.

Morbidelli yang kontraknya dilanjutkan pasukan dan bakal bergandingan bersama 'gurunya' Valentino Rossi tahun depan, kini berada di tangga kelima keseluruhan dengan 77 mata.

Perlumbaan seterusnya dijadual berlangsung di halaman sendiri Quaratararo, GP Perancis pada 11 Oktober ini.

Berita Harian X