Rabu, 16 September 2020 | 12:20pm
Azroy Hakeem Anuar mahu cipta kemenangan di Terengganu. - Ihsan Cub Prix Malaysia
Azroy Hakeem Anuar mahu cipta kemenangan di Terengganu. - Ihsan Cub Prix Malaysia

Litar Permotoran Terengganu istimewa buat Azroy

KUALA LUMPUR: Saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 dijadual memasuki pusingan keempatnya di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Terengganu, Sabtu ini dengan status keseluruhan kelas perdana CP150, masih digenggam Azroy Hakeem Anuar.

Ketika ini, Pelumba Idemitsu Yuzy Honda Racing itu sudah mengumpul 56 mata daripada tiga pusingan dengan kesemuanya meraih penamat di pentas podium dan untuk kali ini, Azroy tentunya mengharapkan tuah menyebelahinya di litar di Pantai Timur nanti.

Litar sepanjang 1.371 kilometer (km) itu pernah menjadi venue istimewa buat Azroy tahun lalu, apabila berjaya meraih kemenangan di sana selepas bermula daripada petak utama.

Dan harapan kali ini tentunya untuk mengulangi pencapaian sama bagi membolehkan dirinya mengutip mata kemenangan maksima seterusnya kekal selaku pendahulu.

"Tidak dinafikan, strategi yang konsisten lebih penting dalam kejuaraan sepanjang lapan pusingan musim ini," kata Azroy. "Namun, saya tetap menginginkan kemenangan terutama di Litar Permotoran Terengganu kerana saya begitu yakin dengan kemampuan diri dan juga jentera pasukan di litar berkenaan."

Mohd Helmi Azman tentunya menjadi seteru utama Azroy dengan pelumba Hi Rev SCK Honda Racing itu setakat ini sudah meraih dua kemenangan masing-masing di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan berada di tangga kedua keseluruhan dengan 50 mata.

Dalam pada itu, dalam kelas CP125, pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Mohd Shafiq Rasol terus menguasai tangga teratas kelas pertengahan itu dengan 61 mata, 10 mata mendahului pesaing terdekatnya dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli.

Rahimi Nabil Razu dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing mendahului kelas WIRA KBS dengan 53 mata.

Dua pelumba ONEXOX SAG Team, Md Aeiman Hafidz Shahril dan Md Norhakim M Norhafizullah masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga dengan 38 dan 35 mata.

Berita Harian X