Ahad, 13 September 2020 | 9:52pm
Morbidelli (kiri) meraikan kejayaan menjuarai GP San Marino. FOTO AFP
Morbidelli (kiri) meraikan kejayaan menjuarai GP San Marino. FOTO AFP

Anak murid 'ajar' sifu Rossi

KUALA LUMPUR: Boss Akademi Pelumba VR46, Valentino Rossi terpaksa akur dengan kemampuan dua bekas 'graduannya', Franco Morbidelli dan Francesco Bagnaia apabila terpaksa berpuashati menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di tempat keempat.

Rossi mengekori dua bekas pelajarnya itu sehingga ke pusingan terakhir, namun sedikit kesilapan di saat akhir menyaksikan dirinya dipintas pelumba Team SUZUKI ECSTAR, Joan Mir dan terpaksa melupakan penamat di pentas podium yang dimenangi Morbidelli daripada pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT).

Lebih menarik, persaingan antara bos dan anak didik ini berlaku di litar Misano - trek yang penuh memori buat Rossi - dimenangi Morbidelli, kemenangan sulungnya selepas menyertai saingan kelas perdana itu pada 2018.

"Saya tidak tahu bagaimana perasaan saya ketika ini," kata Morbidelli sejurus selepas perlumbaan.

"Tentunya ia satu perasaan yang baik, saya gembira dan menikmatinya ketika ini. Apa yang boleh dikatakan pada masa ini, terima kasih kepada pasukan, pihak yang bekerjasama dan membantu saya.

"Pada pusingan terakhir, banyak yang difikirkan, saya memikirkan mengenai detik manis lebih kurang tujuh tahun lalu, ketika berlumba di Kejuaraan Superstock Itali yang saya memenanginya.

"Perasaan itu hampir sama, tetapi untuk kali ini ia lebih lagi. Saya sangat gembira buat masa ini dan terima kasih kepada semua."

Morbidelli melengkapkan 27 pusingan perlumbaan dengan catatan 42 minit 02.272 saat, manakala Bagnaia yang bersama pasukan Pramac Racing ketinggalan 2.217s untuk berada di tempat kedua.

Pelumba Team SUZUKI ECSTAR, Mir melengkapkan pentas podium di tempat ketiga dengan catatan, 42'04.562s manakala Rossi hanya 0.073s di belakangnya.

Rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo mengalami nasib malang apabila tidak menamatkan perlumbaan selepas dua kali terjatuh pada perlumbaan itu sekali gus menyaksikan status pendahulu keseluruhan dipegangnya sebelum ini jatuh ke tangan Andrea Dovizioso.

Dovizioso yang bersama pasukan Ducati Team kini mendahului carta pelumba kelas perdana itu dengan 76 mata, enam mata mendahului Quartararo sebelum saingan sekali lagi berlangsung di litar sama minggu depan. Morbidelli pula berada di tangga ketujuh dengan 57 mata.

Berita Harian X