Sabtu, 1 Ogos 2020 | 9:52pm
SIC MiniGP.
SIC MiniGP.

MiniGP SIC 2020 buka tirai 16 Ogos

KUALA LUMPUR: Musim kejuaraan pencarian bakat cilik, SIC MiniGP 2020 yang tertangguh sejak Mac lalu susulan pandemik COVID-19 kini dijadual membuka tirainya secara rasmi di Litar go-kart Antarabangsa Sepang pada 16 Ogos ini.

Pusingan pertama yang dinanti-nantikan ini bakal menyaksikan 20 pelumba muda di bawah 12 tahun berentap merebut gelaran dengan mengikuti panduan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

"Saya sangat positif dengan perlumbaan yang akan datang ini," kata pengurus program berkenaan, Zulfahmi Khairuddin. "Kami sudah melakukan ujian bersama pelumba selama empat hari sebelum ini.

"Apa yang saya lihat, ia sangat memberangsangkan dan dalam latihan juga tak banyak yang terjatuh. Saya pasti acara ini selamat dan apa yang paling utama, semua pelumba berada dalam keadaan selamat kerana ini adalah saingan permotoran pertama di bawah usia 12 tahun.

"Bagi saya, Malaysia sudah mengambil satu langkah ke depan untuk membawa pelumba di bawah 12 tahun untuk berlumba. Pada hari pertama (ujian), kebanyakan melakukan catatan masa sepusingan 1 minit dan kemudian bertambah baik.

"Jadi, saya agak gementar juga apabila 20 pelumba berada di grid perlumbaan nanti. Saya tak dapat bayangkan reaksi mereka. Namun daripada sudut jentera dan acara itu sendiri, persiapan sudah dilakukan dengan begitu baik. Saya berharap semuanya berjalan dengan lancar nanti."

Seperti ditetapkan MAM, saingan bakal berlangsung tanpa kehadiran penonton selain jumlah kru yang minimum.

"Daripada sudut SOP, tidak ada masalah. Kami akan mengikuti SOP diberikan MAM. MAM sendiri terbabit dengan acara ini dan sentiasa memberi sokongan kepada kami.

"Peminat sukan permotoran dua roda boleh menyaksikan siaran langsung perlumbaan menerusi Facebook SIC (Litar Antarabangsa Sepang) ataupun di SIC MiniGP," kata Zulfahmi.

Jadual SIC MiniGP 2020:

Pusingan 1 (Litar go-kart Antarabangsa Sepang) 16 Ogos

Pusingan 2 (Litar go-kart Antarabangsa Sepang) 6 September

Pusingan 3 (Litar go-kart Antarabangsa Sepang) 25 Oktober

Pusingan 4 (Litar go-kart Antarabangsa Sepang) 15 November

Pusingan 5 (Litar go-kart Antarabangsa Sepang) 6 Disember

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X