Jumaat, 15 Mei 2020 | 11:22am
Carlos Sainz. - Foto AFP
Carlos Sainz. - Foto AFP

Ferrari pilih Sainz

MILAN: Ferrari sudah menandatangani Carlos Sainz menerusi perjanjian dua tahun bagi menggantikan Sebastian Vettel.

Tindakan berkaitan pemandu Sepanyol itu menamatkan terus sebarang harapan melihat Lewis Hamilton menyertai pasukan Formula Satu (F1) paling popular itu.

Ia turut membuatkan juara dunia enam kali itu hanya memiliki sedikit pilihan dan terus komited untuk bersama Mercedes.

Musim depan, Sainz, 25, akan berpasangan dengan Charles Leclerc - hanya berusia 22 tahun - yang memiliki kontrak sehingga 2024.

Prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto, berkata: "Saya amat gembira mengumumkan bahawa Carlos menyertai Scuderia Ferrari untuk kejuaraan 2021.

"Selepas melalui lima musim, Carlos membuktikan dia sangat berbakat dan menunjukkan dia ada kebolehan teknikal dan kemampuan sebenar bagi menjadikan dia sesuai dengan keluarga kami.

"Kami terbabit dalam pusingan baharu dengan sasaran untuk kembali ke persada Formula Satu.

"Ia akan menjadi perjalanan yang panjang, bukanlah tanpa kesukaran, terutama kerana situasi kewangan dan peraturan ketika ini, yang mengalami perubahan secara tiba-tiba dan ini memerlukan cabaran untuk diselesaikan secara berbeza daripada sebelumnya."

Sainz, yang juga anak pemandu rali, meninggalkan McLaren selain pernah memandu buat Renault dan Toro Rosso ketika meningkat dalam kedudukan F1.

Katanya: "Saya sangat gembira akan memandu buat Scuderia Ferrari pada 2021 dan saya teruja mengenai masa depan saya bersama pasukan ini." - Agensi

Berita Harian X