Isnin, 27 April 2020 | 9:12pm
Chase Carey.
Chase Carey.

GP Austria pembuka tirai F1

PARIS: Bos Formula Satu (F1) Chase Carey mensasarkan perlumbaan musim ini akan bermula di Austria pada 5 Julai selepas Grand Prix Perancis dibatalkan dan peminat dilarang menghadiri perlumbaan di Silverstone.

GP Perancis, yang dijadualkan pada 28 Jun, adalah perlumbaan ke-10 musim ini yang terpaksa dibatalkan atau ditunda akibat pandemik COVID-19.

"Kami mensasarkan untuk memulakan perlumbaan di Eropah sepanjang Julai, Ogos dan awal September, dengan perlumbaan pertama diadakan di Austria pada hujung minggu 3-5 Julai.

"September, Oktober dan November, kami akan bertandang ke Eurasia, Asia dan Amerika, menamatkan musim di Teluk pada Disember dengan Bahrain sebelum penutup tirai di Abu Dhabi, selepas menamatkan 15-18 perlumbaan," kata Carey.

Kenyataan Carey itu susulan pengumuman penganjur Perancis dan pemilik litar Silverstone di mana GP British dijangka berlangsung pada 19 Julai.

GP Perancis menyertai sembilan perlumbaan lain dalam kalendar musim 2020 yang terpaksa dibatalkan (Australia, Monaco) atau ditunda (Bahrain, China, Vietnam, Belanda, Sepanyol, Azerbaijan, Kanada). - AFP

Berita Harian X