Jumaat, 3 April 2020 | 10:34pm
Supremo F1, Bernie Ecclestone bersama isteri, Fabiana Flosi.
Supremo F1, Bernie Ecclestone bersama isteri, Fabiana Flosi.

Ecclestone jadi bapa pada usia 89 tahun

LONDON: Bekas supremo Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone bakal menjadi bapa buat kali keempat pada usia 89 tahun bersama isterinya, Fabiana Flosi.

Bilionair itu akan menyambut anak pertamanya bersama Fabiana pada musim panas ini meskipun ketika ini dia sudah memiliki lima cucu.

Ecclestone akan berusia 90 tahun pada Oktober ini namun akhbar Jerman, Blick melaporkan dia akan menghadiahkan adik baharu buat tiga anak perempuannya.

Anak sulungnya bersama isteri pertamanya, Ivy Bamford iaitu Deborah kini berusia 65 tahun.

Dua lagi anaknya bersama isteri kedua, Slavica Radic adalah Tamara dan Petra.

“Ya, dia akan dilahirkan pada musim panas ini. Harapnya dia akan belajar cara bermain ‘backgammon’,” kata Ecclestone.

Ecclestone dan Fabiana berkahwin pada 2012 namun bakal ibu itu mengharapkan anaknya tidak mengikut jejak langkah bapanya.

“Seperti harapan ibu bapa lain, bayi itu dilahirkan dalam keadaan sihat.

“Harap dia tidak berminat dengan perkara seperti F1,” katanya. -Agensi

Berita Harian X