Selasa, 28 Januari 2020 | 6:57pm
Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

SuperKIP rindu penamat podium

KUALA LUMPUR: Kali terakhir Khairul Idham Pawi menaiki podium adalah pada tahun 2016 dan dengan peluang kembali beraksi dalam kelas Moto3, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu berharap dapat 'mengunjungi' kembali pentas itu musim ini. 

Selepas meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman empat tahun lalu, Khairul Idham beralih ke saingan pertengahan, Moto2 untuk tiga musim sebelum tahun lalu mengalami kecederaan serius di jari kelingkingnya yang menyebabkan dirinya hanya menyertai tiga perlumbaan penuh daripada 19 pusingan. 

Susulan itu, pasukan meletakkan strategi untuk kembali menyenaraikan Khairul Idham beraksi dalam kelas Moto3 bersama rakan sepasukan dari Scotland, John McPhee yang pada tahun lalu meraih satu kemenangan di GP Perancis sekali gus membentuk gandingan hebat bagi saingan musim ini. 

"Untuk musim ini, saya mempunyai sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik dan sudah tentu saya mahu berada di pentas podium," kata Khairul Idham atau dikenali SuperKIP itu. "Saya mahu meningkatkan perasaan saya ketika menunggang motosikal dan menunjukkan peningkatan dengan pantas. 

"Saya tahu pasukan dan John akan banyak membantu saya dan saya mahu meraih beberapa keputusan yang baik untuk mereka. John banyak membantu saya di trek dalam ujian pra musim di Jerez, baru-baru ini. 

"Dia memberikan data yang baik. Saya sangat gembira yang dia memberikan (input) kepada saya dan ini menunjukkan yang dia adalah rakan sepasukan yang terbaik."

Khairul Idham dijadual menyertai dua ujian rasmi pra musim di Jerez pada 19 Februari ini dan di Qatar (28 Februari) sebelum pusingan pertama dalam kalendar musim 2020 membuka tirainya di Litar Losail, pada 8 Mac.

Berita Harian X