Isnin, 27 Januari 2020 | 8:33pm
Bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Cub Prix, Wazi Abdul Hamid.
Bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Cub Prix, Wazi Abdul Hamid.

KSBJ tunggu lampu hijau PJS

KUALA LUMPUR: Demi menjaga kebajikan pelumba dua roda, beberapa individu dan penganjur utama dalam arena sukan permotoran negara sebulat suara menubuhkan sebuah persatuan.

Biarpun masih dalam proses kelulusan pihak Pesuruhjaya Sukan (PJS), difahamkan persatuan yang diberi nama Kelab Sukan Bermotor Juara (KSBJ) itu sudah 'dilengkapi' kira-kira 40 individu termasuk nama-nama besar dalam sukan permotoran negara antaranya Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Ahmad Fuad Baharudin dan Azlan Shah Kamaruzaman. 

Menurut 'orang kuat' penubuhan KSBJ Wazi Abdul Hamid, antara objektif kelab adalah hampir sinonim dengan Persatuan Pasukan Perlumbaan Antarabangsa (IRTA) – menjaga aspek keselamatan pelumba ketika perlumbaan selain menyediakan program yang dapat memupuk kesedaran masyarakat terhadap sukan permotoran.

"Dalam posisi sekarang ini, yang ada bersama kami adalah dalam 40 orang," kata Wazi yang juga bekas pelumba di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Cub Prix sebelum bersara pada 2006.

“Semuanya profesional. Kami tidak mahu kemahiran ataupun pengetahuan pelumba-pelumba ini disia-siakan dan mahu menjadikan ilmu dimiliki mereka berfaedah kepada masyarakat. 

"Kami bergerak seperti IRTA... menjadi wakil pelumba dalam perlumbaan. Sebagai contoh, seperti perlumbaan Cub Prix dan beberapa siri perlumbaan tanah air. Kami memantau dan membantu penganjur. 

"Kadangkala pihak penganjur hanya menganjurkannya namun daripada sudut hak pelumba, adakalanya tercicir. Contohnya seperti daripada sudut keselamatan (situasi merbahayakan pelumba disebabkan hujan lebat atau angin kencang) dan ini yang kami mahu tekankan. 

"Kami juga mengenalpasti kebajikan bekas pelumba, untuk mereka membabitkan diri dalam program keselamatan jalanraya. Andai di negara luar, pelumba ini boleh dijadikan ikon. Mereka boleh bergerak dalam usaha mempromosi keselamatan (jalanraya). Itu yang kami cuba lakukan sekarang ini.

 

"Pengetahuan dan kemahiran itu sangat berharga dan ia boleh dikongsikan dengan pengguna di luar sana manakala masyarakat pula secara tidak langsung dapat meningkatkan pengetahuan menunggang ataupun sebagainya.

 

"Jadi dengan kelab ini, mereka mempunyai platform untuk berbuat demikian.”

Berita Harian X