X
Khamis, 12 Disember 2019 | 11:58pm
- Foto ihsan FB Sepang Circuit
- Foto ihsan FB Sepang Circuit

Yamaha Sepang sambar petak utama Endurance 8 Jam Sepang

SEPANG: Pasukan Malaysia, Yamaha Sepang Racing akan memulai perlumbaan Kejohanan Endurance Dunia FIM 8 Jam Sepang dari kedudukan petak utama selepas memperoleh tempat pertama dalam percubaan 10 teratas di Litar Sepang, di sini hari ini.

Pelumbanya, Franco Morbidelli dari Itali mencatat masa terpantas 2:04.647s, di hadapan pelumba Thailand Somkiat Chantra daripada Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang mencatat masa 2:05.440s.

Pasukan F.C.C. TSR Honda France berada di kedudukan ketiga selepas pelumbanya Josh Hook mencatatkan masa 2:05.484s.

Dalam perlumbaan 8 Jam Sepang, pelumba paling laju daripada setiap 10 pasukan terpantas dalam peringkat kelayakan akan sekali lagi berlumba untuk satu lagi pusingan bagi menentukan kedudukan akhir grid pasukan masing-masing.

Morbidelli berkata:”Dapat dirasakan ada sedikit persaingan dengan Honda, kelajuan kami lebih baik sedikit tetapi mereka lebih berpengalaman dalam perlumbaan ini (EWC). Kami akan mencuba yang terbaik dalam perlumbaan Sabtu ini.”

Morbidelli yang bersama-sama pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dan juara tiga kali 8 Jam Suzuka, Michael Van der Mark dalam pasukan itu - mencatatkan purata masa pusingan terbaik 2:04.429s selepas dua sesi kelayakan.

Yamaha Sepang Racing menguasai sesi kelayakan pertama pagi ini selepas catatan masa 2:03.907s yang dilakukan Morbidelli, lebih pantas daripada F C C TSR Honda France dan YART Yamaha.

Pasukan tuan rumah juga mengekalkan pendahuluan selepas sesi kelayakan kedua selepas Van der Mark mencatatkan masa 2:05.614s, di hadapan pasukan yang sama.

EWC 8 Jam Sepang akan bersambung esok pada pukul 1 tengah hari.

-- BERNAMA

Berita Harian X