Jumaat, 6 Disember 2019 | 9:40pm
Cub Prix adalah medan terbaik untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia. - Arkib NSTP
Cub Prix adalah medan terbaik untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia. - Arkib NSTP

Cub Prix medan terbaik lahir jaguh dunia

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS sememangnya menjadi medan asas kepada bakat muda di negara ini untuk mengejar impian beraksi di pentas antarabangsa.

Apa tidaknya, selepas 26 tahun ramai bakat pelumba dapat dicungkil - antaranya seperti legenda sukan permotoran dua roda, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang menjadi pelumba pertama beraksi di pentas Kejuaraan Dunia dalam kelas 250cc bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha TVK pada tahun 2000 hingga 2003.

Kemunculan Shahrol Yuzy di kejuaraan berpestij itu secara tidak langsung menyuntik impian pelapis muda yang mahu mengikut jejak langkahnya dan sehingga hari ini Malaysia sudah mampu melahirkan pelumba profesional dengan asasnya adalah di Kejuaraan Cub Prix.

Selepas Shahrol Yuzy muncul Zulfahmi Khairuddin, Azlan Shah Kamaruzaman, Zaqhwan Zaidi, Khairul Idham Pawi, Adam Norrodin dan Hafizh Syahrin Abdullah yang mampu bersaing bukan saja di pentas Asia tetapi juga dunia dengan ada yang pernah meraih penamat di pentas podium.

“Cub Prix adalah medan terbaik untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia," kata Shahrol Yuzy yang kini menguruskan pasukan IDEMITSU Honda Yuzy Racing. "Pelumba kita sebenarnya sudah menjadi perhatian pasukan besar di peringkat antarabangsa kerana ada yang menganggap bahawa

Cub Prix adalah satu-satunya perlumbaan yang cukup mencabar.

"Sebelum saya melangkah ke perlumbaan peringkat dunia, saya bekerja keras untuk menampilkan aksi tebaik di pentas Cub Prix.

“Saya membuat kemunculan di Cub Prix pada 1995, tetapi hanya beraksi dalam beberapa perlumbaan sahaja. Selepas itu, saya muncul dalam perlumbaan di peringkat Asia sebelum melangkah ke kejuaraan dunia secara penuh masa.

“Justeru, saya menasihatkan para pelumba muda kita yang bercita-cita melangkah jauh dalam karier masing-masing supaya mempergunakan sepenuhnya gelanggang Cub Prix untuk membuktikan kemampuan mereka."

Saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bagi musim 2019 dijadual menutup tirainya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula hari ini hingga Ahad ini dengan tujuh kelas perlumbaan dipertandingkan.

 

Info

Jadual

Esok

9pg-9.20pg (latihan bebas 1 CP150) 20 minit

9.30pg-9.50pg (latihan bebas 1 CP115) 20 minit

10pg-10.15pg (latihan bebas 1 WIRA) 15 minit

10.25pg-10.40pg (latihan bebas PETRONAS Sprinta Pro Am Cup) 15 minit

10.50pg-11.05pg (latihan bebas AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge) 15 minit

11.15pg-11.30pg (latihan bebas Honda Dash 125 Challenge) 15 minit

11.40pg-11.55pg (latihan bebas 2 WIRA) 15 minit

12.05tghari-12.25tnghari (latihan bebas 2 CP150) 20 minit

12.35tghari-12.55tghari (latihan bebas 2 CP115) 20 minit

1.05tghari-1.20tghari (latihan bebas Yamaha PETRONAS Super Series) 15 minit

1.50tnghari-2.05ptg (kelayakan WIRA) 15 minit

2.15ptg-2.35ptg (kelayakan CP115) 20 minit

2.45ptg-3.05ptg (kelayakan CP150) 20 minit

3.15ptg-3.30ptg (kelayakan PETRONAS Sprinta Pro Am Cup) 15 minit

3.40ptg-3.55ptg (shoot out WIRA 1-10) 15 minit

4.05ptg-4.20ptg (kelayakan AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge) 15 minit

4.30ptg-4.45ptg (kelayakan Honda Dash 125 Challenge) 15 minit

4.55ptg-5.10ptg (kelayakan Yamaha PETRONAS Super Series) 15 minit

*Tertakluk kepada perubahan

Berita Harian X