Jumaat, 22 November 2019 | 7:15pm
PELUMBA PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli.
PELUMBA PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli.

Quartararo, Morbidelli dapat berita baik

SEPANG: Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli dijadual menggunakan motosikal Yamaha spesifikasi 2020 secara penuh dalam ujian rasmi MotoGP selama dua hari di Litar Jerez, Sepanyol pada 25 hingga 26 November ini. 

Kedua-dua pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) itu menggunakan spesifikasi 'separa penuh' dalam ujian rasmi di Litar Ricardo Tormo pada Selasa dan Rabu lalu.

Begitupun, ia tidak menghalang Quartararo muncul kedua terpantas keseluruhan di belakang pasukan 'abang' - Monster Energy Yamaha MotoGP - Maverick Vinales.

Vinales yang menggunakan spesifikasi Yamaha 2020 secara penuh di Ricardo Tormo mencatat masa sepusingan terpantas keseluruhan, 1 minit 29.849 saat pada sesi kedua manakala Quartararo ketinggalan 0.164s di belakang pelumba dari Sepanyol itu. 

Morbidelli berada di tangga ketiga keseluruhan dengan catatan sepusingan terbaiknya, 1'30.114s.

"Dalam ujian, Fabio dan Franco melakukan yang terbaik walaupun Maverick agak laju dengan jentera 2020," kata Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali dalam satu temubual di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. 

"Di Valencia (Ricardo Tormo), pasukan menggunakan casis baharu, semua baharu kecuali enjin saja yang lama. Untuk di Jerez nanti, semua akan menggunakan (spesifikasi) 2020."

PETRONAS Yamaha SRT adalah pasukan satelit (kedua) kepada Yamaha dengan Monster Energy Yamaha MotoGP yang dibarisi Vinales dan Valentino Rossi selaku pasukan utama pengeluar motosikal berkenaan. 

Di Grand Prix (GP) Malaysia baru-baru ini, pasukan membuat pengumuman yang kedua-dua pelumbanya bakal menggunakan jentera YZR-M1 spesifikasi A bagi musim depan - setara seperti pasukan pengeluar, Monster Energy Yamaha MotoGP.

Sebelum itu, hanya Morbidelli yang menerima spesifikasi A, sama seperti pasukan pengeluar pada 2019 manakala Quartararo yang muncul selaku pelumba muka baharu (rookie) terbaik MotoGP menggunakan jentera spesifikasi B.

Berita Harian X