Khamis, 7 November 2019 | 3:39pm

Hafizh Syahrin buat kerja 'gila'

SUBANG JAYA: Adakah pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah bakal meninggalkan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia?

Itulah persoalan yang timbul selepas dia akan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan kereta Sepang 1,000km (S1K) Endurance Race pada 22-24 November ini mewakili pasukan HI-REV SIC Dream Chaser.

Malah, Hafizh Syahrin membuat kerja ‘gila’ kerana berbaki satu lagi perlumbaan dalam kalendar MotoGP, dia perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Valencia untuk menjalani latihan perlumbaan S1K di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Isnin ini.


Hafizh Syahrin bergambar dengan kereta bakal dipandu dalam Malaysia the Sepang 1000km (SIK) Endurance Race yang akan berlangsung pada november 22 hingga 24 di Subang Jaya. - NSTP/Owee Ah Chun

Dia bakal bergandingan dengan Bradley Benedict Anthony dan juga Alister Yoong, yang juga anak lelaki kepada bekas pemandu Formula Satu negara, Alex Yoong.

"Saya ini jenis seorang atlet sukan yang sangat aktif, saya tak boleh duduk diam di rumah. Seperti semalam pun saya bermain bola, hari ini saya beri sokongan kepada pasukan untuk perlumbaan S1K.

Minggu hadapan juga saya akan berangkat ke Valencia kemudian balik semula ke sini untuk S1k dan kemudian kembali ke Valencia untuk sesi percubaan jentera pada musim hadapan.

"Selepas itu, saya akan kembali ke sini untuk persediaan WTCR (FIA World Touring Car Cup). Saya cuba buat yang terbaik dalam perlumbaan yang saya ceburi dan akan kekal cergas setiap hari.

Ini kerja saya, sama seperti orang lain kerja di pejabat. Ini kerja saya, saya perlu berlatih hari-hari dan bersedia untuk berlumba," katanya dalam majlis pengumuman pasukan HI-REV SIC Dream Chaser di sini hari ini.

Penyertaan Hafizh Syahrin di S1K adalah sebahagian daripada syarat wajib untuk memperoleh lesen FIA bagi membolehkannya bertanding dalam WTCR yang akan diadakan sempena Races of Malaysia Sepang dari 13 hingga 15 Disember ini.

"Boleh dikatakan kerja gila atau tak pernah orang buat kerana saya akan berlumba (motosikal) lapan jam dahulu. Bagi saya tekanan pastinya ada. Perlumbaan lapan jam memerlukan fizikal yang cergas, tak perlukan jentera yang sangat laju.

"Tetapi yang merisaukan saya macam mana nak bawa kereta pada WTCR nanti sebab ada lapan juara dunia yang akan beraksi. Saya akan cuba dan bagi saingan sebaiknya kerana perlumbaan WTCR nanti tak ada tukar pemandu," katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, Hafizh akan bertanding di Sepang Racing Team dan bergandingan bersama seorang lagi pelumba MotoGP popular iaitu Franco Morbidelli serta pelumba World Superbike Championship dari Belanda, Michael Van Der Mark bagi perlumbaan motosikal, FIM Endurance World Championship, sehari sebelum saingan WCTR.

"Sepang Racing Team memilih Hafizh Syahrin kerana ini acara baharu yang menggantikan acara Formula Satu di SIC. Jadi, untuk menarik orang ramai, kita menggunakan Hafizh Syahrin," katanya.

Pelumba motorsikal negara, Hafizh Syahrin mencuba kereta yang bakal dipandunya dalam Malaysia the Sepang 1000km (SIK) Endurance Race. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X