Sabtu, 2 November 2019 | 3:10pm
Gambar fail, Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (kanan) ketika sidang media mengenai SIC Minigp Championship 2020 di Litar Sepang. - Foto Syarafiq Abd Samad

GP Malaysia: Kes kecurian malukan negara

SEPANG: Kerana nila setitik rosak susu sebelanga!

Itu kesimpulan tepat yang boleh dirumuskan susulan kehilangan beberapa komponen dan barangan di beberapa paddock pasukan yang bertanding di Grand Prix (GP) Malaysia yang tengah berlangsung.

Malah, kes kecurian ini turut mencemarkan nama sukan dua roda negara selain memberi imej negatif kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menganjurkan perlumbaan berprestij ini buat edisi ke-20.

Kecewa dan berang dengan kes kecurian yang berlaku dalam kelas Moto2 dan Moto3 itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali menegaskan kawalan keselamatan sentiasa menjadi faktor utama SIC dan pemegang hak penganjuran Kejuaraan Dunia, Dorna.

Razlan berkata, kejadian seperti ini bukan pertama kali berlaku dalam tempoh 11 tahun berkhidmat di SIC, namun antara insiden terdahulu berpunca daripada kecuaian kru pasukan sendiri berbanding kali ini yang tampak 'lebih terancang'.

"Apa yang saya tahu selepas bermesyuarat dengan pasukan Aspar (dikenali Angel Nieto ketika ini; antara pasukan yang terbabit dengan kecurian), mungkin ada satu kumpulan yang sudah tahu apakah yang ingin dicuri.

"Contohnya dalam khemah pasukan, mereka ada tayar depan dan belakang tetapi mereka ambil tayar depan yang kecil saja. Mereka mengambil brake calliper (angkup brek) saja walaupun ada banyak barangan lain dan (ini menunjukkan) mereka tahu apakah yang harus diambil (curi) dan untuk jentera apa.

"Itu yang kita syak, tetapi saya serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan," kata Razlan kepada media selain menyatakan SIC sudah membuat laporan polis berhubung kes kecurian komponen motosikal prototaip itu yang kemungkinan berlaku antara jam 1 hingga 6 pagi Jumaat lalu.

"Antara lima atau enam pasukan terbabit dengan insiden itu tetapi yang paling terkesan adalah pasukan Angel Nieto apabila banyak komponen yang hilang membabitkan jentera Moto2 dan Moto3," katanya.

Berita mengenai kecurian ini tersebar di laman sosial yang melaporkan antara komponen dicuri merangkumi set lengkap penyerap hentak, angkup cakera brek, komputer riba, alat bengkel dan pemanas tayar.

 

Berita Harian X