Jumaat, 1 November 2019 | 8:25pm
Pelumba Moto3 negara yang mewakili Petronas Sprinta Racing Adam Norrodin (kanan) menandatangani baju peminat pada Majlis Bertemu Peminat sempena 'Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2019' di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) Jalan Ampang, kelmarin. - Foto BERNAMA

Adam Norrodin tak sangka kembali ke GP Malaysia

SEPANG: Adam Norrodin sama sekali tidak menjangka dapat kembali berlumba di laman sendiri - Grand Prix (GP) Malaysia - selepas membuat penampilan terakhirnya dalam kelas Moto3 pasukan PETRONAS Sprinta Racing tahun lalu.

Di Litar Antarabangsa Sepang 2018, dia yang menggantikan Khairul Idham Pawi dalam kelas Moto2 sehingga akhir musim ini mempamerkan tunggangan meyakinkan walaupun ketika itu dihimpit kecederaan bahu dan memulakan perlumbaan daripada laluan pit sebelum menamatkan saingan di tempat ke-23.

Namun untuk kali ini, pelumba berusia 21 tahun itu berdepan situasi berbeza dan sama sekali tidak menjangkakan yang dirinya diberi peluang beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam tempoh secepat ini.

Pelumba yang menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) itu berkata: "Di sini (Sepang) tentunya ada rasa gementar sedikit kerana tidak melakukan persiapan secukupnya untuk Kejuaraan Dunia.

"Peluang yang saya terima (menggantikan Khairul Idham) termasuk di laman sendiri ini tiba di saat-saat akhir. Tentunya mencabar kerana saya tidak bersedia untuk diri saya.

"Walaupun begitu, saya ambil peluang ini untuk menimba pengalaman sebagai persiapan walaupun Sepang adalah tempat yang saya ingin kembali di Kejuaraan Dunia. Bagi saya, apabila peluang sebegini tiba, ini adalah peluang yang perlu diambil untuk masa depan.

Adam atau dikenali sebagai Torete, menamatkan sesi latihan bebas di tangga ke-29 keseluruhan pada hari pertama saingan GP Malaysia hari ini dan mengulas mengenai percaturan bagi sesi kelayakan esok pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata: "Jarak kelajuan terlalu jauh (dengan kelompok depan).

"Namun sekarang ini agak bergelut dan kami perlu mencari sesuatu di bahagian jentera sebelum boleh meletak sasaran untuk kelayakan esok."

Berita Harian X