Jumaat, 1 November 2019 | 6:08pm
HAFIZH Syahrin Abdullah beraksi dalam sesi latihan di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Hafizh Syahrin harap ada sinar di Sepang esok

SEPANG: Hafizh Syahrin Abdullah mengharapkan ada 'sinar' lebih baik pada hari kedua Grand Prix (GP) Malaysia esok selepas berdepan kesukaran dengan jentera KTM RC16 ditungganginya di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Strategi pelumba Red Bull KTM Tech3 itu serba tidak menjadi pada sesi latihan bebas pertama dan kedua dengan Hafizh melengkapkan hari pertama saingan di laman sendiri di tempat ke-19 daripada 20 pelumba dalam kelas MotoGP.

Hafizh melengkapkan sesi latihan bebas pertama dengan catatan sepusingan terbaiknya 2 minit 01.579 saat dan 2'02.429s pada sesi seterusnya.

"Pagi tadi (sesi latihan bebas pertama), saya boleh katakan tak begitu teruk, tak juga begitu bagus. Tapi apa yang saya tak cukup faham adalah mengenai jentera saya pada petang tadi (sesi latihan bebas kedua).

"Pada sesi terakhir (penghujung sesi latihan bebas kedua), saya mengalami masalah ketika keluar selekoh dan tak ada cengkaman langsung walaupun sudah menukar tayar jenis 'soft'. Saya ingat ia (pertukar jenis tayar) membantu, tetapi tidak.

"Jadi saya amat bergelut buat masa sekarang ini. Walaupun saya mempunyai keyakinan dalam diri tetapi jentera tidak dapat memberikan maklumbalas yang bagus untuk saya meningkat. Disebabkan itu, saya tidak boleh membuat catatan masa yang lebih baik berbanding pagi tadi.

"Saya kecewa dengan keserasian jentera. Harap esok saya dapat melakukan sesuatu yang lebih baik daripada hari ini. Hari ini, saya dapat perbaiki sudut tunggangan tetapi tidak ada yang dapat memberi peningkatan," kata Hafizh.

Hafizh tiba di laman sendiri dengan keputusan positif di GP Australia minggu lalu, menamatkan perlumbaan di Litar Phillip Island di tempat ke-15 untuk meraih satu mata. Ketika ini, Hafizh menduduki tangga ke-23 dalam senarai pelumba MotoGP dengan lapan mata keseluruhan.

Berita Harian X