Rabu, 30 Oktober 2019 | 6:16pm
PELUMBA Moto3 negara yang mewakili Petronas Sprinta Racing Adam Norrodin (kanan) ketika sidang media pada Majlis Bertemu Peminat sempena 'Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2019' di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) Jalan Ampang. - Foto BERNAMA

Adam harap sokongan penonton, cuaca bantu saingan GP Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Adam Norrodin mengakui faktor penyokong di laman sendiri dan cuaca memberikannya kelebihan serta keyakinan untuk beraksi pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada hujung minggu ini.

Pelumba pelapis SIC Racing Team yang diberi tanggunggjawab menggantikan tempat Khairul Idham Pawi dalam pasukan Moto2 PETRONAS Sprinta Racing itu berkata, sasarannya secara peribadi di SIC agak tinggi.

Bagaimanapun pelumba yang diberi julukan 'Torete' itu tidak mahu terlalu memberikan tekanan ke atas dirinya sendiri, sebaliknya ingin kekal fokus menjelang perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Malaysia, pada Ahad ini.

“Sepang selalu memberikan saya semangat untuk memberikan keputusan yang baik. Untuk perlumbaan di minggu ini sasaran diletakkan agak tinggi dan jika dapat mengutip mata, ia adalah satu bonus.

“Tapi saya tidak mahu meletakkan tekanan buat diri sendiri, saya cuba buat yang terbaik nanti.

“Saya rasa penyokong dan cuaca berpihak pada saya kerana banyak berlatih dan serasi di Sepang. Saya juga tahu lebih terperinci di litar dan ia membuatkan saya lebih yakin,” kata Adam yang sebelum ini menggalas tanggungjawab dalam kelas Moto3.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi bertemu peminat bersama pelumba Moto GP Shell Malaysia 2019 anjuran Tourism Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini, hari ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team lain yang turut memeriahkan majlis itu adalah Franco Morbidelli (MotoGP), Khairul Idham Pawi (Moto2), John McPhee (Moto3), Ayumu Sasaki (Moto3).

Selain itu, peminat berpeluang bertemu pelumba Red Bull KTM Ajo iaitu Brad Binder (Moto2), Jorge Martin (Moto2), Can Oncu (Moto3), serta pelumba Onexox TKKR SAG Team iaitu Remy Gardner (Moto2) dan Tetsuta Nagashima (Moto2).

Perlumbaan motosikal GP Malaysia di Sepang akan bermula pada Jumaat hingga Ahad ini.

Berita Harian X