Sabtu, 26 Oktober 2019 | 5:03pm
Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee bermula petak keempat GP Australia.
Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee bermula petak keempat GP Australia.

McPhee bermula petak keempat GP Australia

KUALA LUMPUR: Bukan mudah buat John McPhee mengharungi hari kedua Grand Prix (GP) Australia yang berlangsung dalam keadaan cuaca bercampur baur ditambah angin kuat di Litar Phillip Island.

Begitupun, pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu mampu menempuh saingan sukar hari ini dengan senyuman apabila dijadual memulakan perlumbaan esok daripada petak keempat.

McPhee yang memenangi GP Perancis, Mei lalu mencatat masa keempat terpantas dalam sesi kelayakan kedua 1 minit 39.310 saat - sekali gus meraih petak kedua terbaik dalam kariernya di Moto3 selepas menyambar petak utama pada 2015.

"Bukan hari yang mudah dengan keadaan trek sebegini, namun cabaran ini sama buat semua pelumba," kata McPhee.

"Saya berasa sangat baik dengan motosikal dan mahu melakukan catatan secara sendirian tetapi angin kuat bermakna 'slipstream' lebih penting berbanding kebiasaan dan saya perlu berada dalam sesuatu kelompok.

"Bermula di barisan kedua dapat membantu kami untuk bersaing dengan kelompok depan apabila lampu (perlumbaan) dinyalakan.

“Angin bermakna semua orang tidak mampu untuk keluar (daripada kelompok pelumba) daripada perlumbaan. Jadi ia akan menjadi sesuatu yang penting berbanding menjadi kuat dalam kelompok itu - buat masa ini, bagi saya ia masih satu hari yang menarik buat kami."

Rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki bakal memulakan perlumbaan daripada petak ke-22, pada hari yang disifatkannya menyediakan saingan penuh berliku itu.

"Kali pertama saya menunggang dalam keadaan angin yang bertiup begitu kencang dan ia sukar. Kami menemui jalan untuk menjadikannya lebih baik dan saya mampu berada di tempat ketiga dalam sesi latihan ketiga.

“Kami juga tahu yang saya boleh menjadi kuat dalam keadaan litar kering tetapi sesi kelayakan berlangsung begitu berbeza.

"Hujan begitu lebat sebelum kami memulakan sesi dan saya keluar menggunakan tayar basah tetapi (litar) kering semula dan keadaan bertukar semakin baik. Saya adalah orang pertama yang menemui garisan ketika itu dan sekiranya mampu melakukan satu lagi pusingan, tentunya boleh melakukan yang lebih baik.

"Begitupun, kami akan terus bersemangat, fokus terhadap jarak saingan dan keyakinan diperoleh pada sesi kelayakan ketiga dan kita lihat apakah yang akan berlaku pada hari perlumbaan nanti," kata Sasaki.

Dalam saingan Moto2, Adam Norrodin terus positif untuk hari perlumbaan esok biarpun turut mengharungi cabaran sukar pada hari kedua saingan hari ini.

"Perkara positifnya, biarpun kami berdepan hari sukar, kami masih tidak begitu jauh daripada kedudukan pelumba terpantas. Ramalan cuaca esok dilaporkan lebih baik daripada hari ini dan harapnya kami boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.

"Kami perlu menamatkan perlumbaan dan saya mahu lebih dekat dengan (catatan) pemenang. Jadi untuk esok, saya perlu berusaha lebih gigih untuk berada dalam kelompok pelumba bermula daripada awal saingan lagi," kata Adam.

Berita Harian X